PEMAIN hoki remaja negara, Adam Ashraf cuba melepasi kawalan dua pemain Belgium pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN hoki remaja negara, Adam Ashraf cuba melepasi kawalan dua pemain Belgium pada perlawanan hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Impian skuad hoki remaja negara untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik Piala Dunia Remaja di halaman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 3-5 di tangan Belgium menerusi penalti shoot-out selepas terikat 2-2 pada aksi sebenar klasifikasi sembilan sehingga 12, hari ini.

Ia adalah kekecewaan kedua dihadapi skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim selepas gagal memenuhi sasaran awal untuk mara ke suku akhir.

Belgium berpeluang untuk di depan pada minit ke-8 selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama, tetapi penjaga gol skuad negara, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini cemerlang menafikan cubaan lawan.

Skuad negara memperoleh dua pukulan sudut penalti pada minit ke-14 dan 15, namun kedua-duanya disia-siakan begitu sahaja.

Suku kedua menyaksikan skuad Young Tigers terus memberi tekanan kepada Belgium apabila memperoleh dua lagi pukulan sudut penalti, tetapi kedua-duanya gagal menghasilkan gol.

Belgium akhirnya memecah kebuntuan selepas Max Luyten bijak mencari ruang dalam kawasan D untuk menewaskan Rafaizul pada minit ke-28.

Hujan lebat menyaksikan aksi separuh masa kedua terpaksa ditangguhkan selama 40 minit dan Belgium dilihat tampil lebih agresif, sekali gus memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Hugo Labouchere minit ke-36.

Skuad negara akhirnya memperoleh gol pertama hasil jaringan padang pemain tengah, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari minit ke-37.

Jaringan itu nyata melonjakkan semangat anak buah Amin yang memperoleh sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik selepas itu untuk mendapatkan gol penyamaan, namun ia tidak berhasil.

Memasuki suku keempat, skuad negara akhirnya meraih gol penyamaan selepas dihadiahkan penalti stroke yang disempurnakan Mohammad Harris Iskandar Osman minit ke-51, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan shoot-out.

Berikutan kekalahan itu, skuad negara akan beraksi pada perlawanan klasifikasi ke-11/12, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 5:47 PM