SUBAHAN pada sidang media hari ini. FOTO IHSAN MHC
SUBAHAN pada sidang media hari ini. FOTO IHSAN MHC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memerlukan sekurang-kurangnya RM12 juta untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar dalam tempoh setahun.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya akan bekerjasama dan berusaha untuk membolehkan dana yang diperlukan oleh badan induk itu dapat menampung perbelanjaan saban tahun.

"Kalau kita nak menjalankan aktiviti yang sudah dirancang oleh MHC dengan selesa tanpa sekatan, kita perlu sekurang-kurangnya RM12 juta setahun. Hoki tidak seperti beberapa persatuan bola yang mana kelab membayar gaji mereka dan datang main untuk Malaysia akan di bayar elaun.

"Berbanding hoki, kita perlu bayar gaji pemain kerana mereka terikat sepenuhnya dengan kita (MHC) dan perjalanan untuk pergi kejohanan luar negara juga sudah memakan modal begitu besar.

"Sebab dulu kita tak ada Hoki 5 sebelah dan sekarang ia sudah menjadi salah satu sukan dalam kalendar Persekutuan Hoki Antarabangsa, indoor (hoki dalam dewan) juga sama, jadi kita memang perlu pendapatan lebih untuk MHC," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif MHC di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai agenda mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif MHC hari ini, Subahan memaklumkan konfederasi berkenaan melakukan beberapa perubahan dalam jawatankuasa bagi penggal 2023/2027.

Antara perubahan yang dilakukan adalah Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak selaku pengurusi akan dibantu oleh Datuk Mohd Saiyuti Abd Samad selaku timbalan dan mereka akan memberi fokus kepada jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan.

"Datuk Saiyuti lebih kepada pasukan hoki wanita, sebab kita mahu beri lebih banyak fokus kepada pasukan ini. semua sedia maklum kita ada perancangan enam tahun, Sukan Asia seterusnya pada 2026 lebih kurang dua tahun dari sekarang, sebab itu 90 peratus yang main di kelayakan Sukan Olimpik (di Sepanyol) adalah pemain muda.

"Saya punya sasaran, Sukan Asia 2026 kita mesti tamatkan kejohanan di dalam podium (tiga terbaik), saya perlukan seseorang yang mengetahui lebih mendalam berkenaan pasukan ini dan Datuk Saiyuti orang yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 4:35 PM