PEMAIN Jerman meraikan kemenangan 4-1 ke atas India, sekali gus mara ke final Hoki Piala Dunia Remaja, hari ini. FOTO FIH
PEMAIN Jerman meraikan kemenangan 4-1 ke atas India, sekali gus mara ke final Hoki Piala Dunia Remaja, hari ini. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Finalis Hoki Piala Dunia Remaja 2021, Jerman semakin hampir untuk menebus kekecewaan apabila mara ke final edisi kali ini selepas menewaskan India 4-1 di separuh akhir, hari ini.

Bagi India pula, kekalahan itu cukup memeritkan selepas turut tewas kepada Jerman di peringkat sama ketika beraksi di halaman sendiri di Bhubaneswar, dua tahun lalu.

India tampil agresif pada awal permainan sehingga memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun kedua-duanya gagal menghasilkan gol.

Ketika India ghairah mencari gol pendahuluan, Jerman memperoleh gol pertama minit ke-8 menerusi jaringan Ben Hasbach yang menewaskan penjaga gol India, Shashikumar Mohith.

Namun gol pendahuluan Jerman itu tidak bertahan lama selepas Sudeep Chirmako menyamakan kedudukan untuk India minit ke-13 menerusi pukulan padu ke penjuru atas gawang gergasi Eropah itu.

Jerman yang tewas di tangan Argentina pada final 2021, kembali di depan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-30 hasil tindakan susulan Hasbach selepas tolakan Paul Glander dinafikan Mohith.

India tampil agresif pada separuh masa kedua apabila kerap memasuki kawasan D Jerman dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan dengan segera.

Namun sekali lagi ketika India ghairah mencari gol penyamaan, Jerman memperoleh pukulan sudut penalti yang disempurnakan Glander pada minit ke-41.

Terdesak untuk merapatkan jurang, India dilihat lebih agresif pada suku keempat, namun sekali lagi dihukum apabila Jerman menambah gol keempat hasil jaringan padang Florian Sperling, dua minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 8:44 PM