S Kumar. FOTO arkib NSTP
S Kumar. FOTO arkib NSTP

Saiful Affendy Sapran

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar mengakui siri perlawanan persahabatan dengan pasukan Eropah yang dirancang pada tahun depan dapat memberi impak besar kepada Malaysian Tigers.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini memberi lampu hijau kepada ketua jurulatih, Roelant Oltmans untuk membawa pasukannya beraksi di Eropah termasuk Belanda dan Jerman bermula Julai, iaitu sebelum aksi final kempen kelayakan Sukan Olimpik hujung tahun depan.

"Kita sememangnya jarang beraksi dengan pasukan utama seperti Jerman dan Belanda atau lima pasukan terbaik di dunia.

"Selalunya kita hanya dapat bermain dengan pasukan kedua mereka.

"Jadi, kita sememangnya memerlukan banyak perlawanan besar untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan," katanya.

Jurang skuad negara dengan pasukan Eropah dilihat terlalu jauh pada kempen Piala Dunia di Bhubaneswar yang menyaksikan Malaysia dibelasah Belanda 0-7 tetapi mula mendapat rentak ketika tewas kepada Jerman 3-5 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sementara itu, Kumar yang dilihat beraksi cemerlang di Bhubaneswar berkata, dia akan terus beraksi bersama skuad negara selagi khidmatnya diperlukan.

Justeru, penjaga gol berusia 39 tahun itu bersedia memberikan komitmennya pada Final Siri Hoki yang berlangsung dari 23 April hingga 1 Mei 2019 di Kuala Lumpur dengan dua pasukan terbaik di saingan itu akan layak beraksi di final kelayakan Olimpik hujung tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 7:47 PM