AMIN (kanan) puas hati dengan prestasi semasa pemain.
AMIN (kanan) puas hati dengan prestasi semasa pemain.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki dalam dewan, Muhamad Amin Rahim berharap barisan pemainnya masih kekal mengingati segala tunjuk ajar jurulatih berpengalaman Paul Lissek apabila menghadapi saingan sebenar Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jurulatih dari Jerman itu yang dilantik selaku konsultan bagi pasukan lelaki dan wanita sudah pun tamat perkhidmatannya dan kelibat pengendali itu tidak akan dapat dilihat di temasya itu nanti.

“Tidak dinafikan Lissek banyak membawa perubahan besar dan taktikal yang diberikannya sesuai digunakan oleh barisan pemain negara.

“Sekarang khidmat Lissek sudah tamat dan saya tidak mahu setiap pemain negara terus melupakan apa yang diajar olehnya sebelum ini,” katanya.

Jelas Amin, impak positif yang dibawa Lissek menyaksikan barisan pemainnya setakat ini berjaya mencatatkan tiga kemenangan serta satu seri pada siri perlawanan persahabatan dengan Australia Barat.

“Kita mempunyai baki satu lagi perlawanan persahabatan Jumaat ini (esok). Saya mahu setiap pemain mengekalkan aksi konsisten ini pada saingan sebenar nanti,” katanya.

Sementara itu, Amin juga berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang diserap ke dalam pasukan hoki dalam dewan selepas memenuhi tugasan di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

“Tapi, tidak bermakna dia akan terus menjadi pilihan utama di dalam pasukan. Ketika ini, setiap pemain berada pada prestasi terbaik dan Najmi juga tidak terkecuali untuk membuktikan kemampuannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 10:16 AM