SKUAD hoki lelaki Sukan Sea akan cuba buktikan yang kita juga mampu menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen negara. FOTO Ihsan Hokita
SKUAD hoki lelaki Sukan Sea akan cuba buktikan yang kita juga mampu menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen negara. FOTO Ihsan Hokita
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara menyahut cabaran untuk membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Sea Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei depan.

Meskipun hanya membariskan skuad hoki remaja negara berbanding skuad senior, ketua jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim tetap yakin cabaran itu mampu dipenuhi oleh anak buahnya.

"Sudah pasti setiap perlawanan atau kejohanan ada cabaran tersendiri. Saya nampak cabaran yang diambil kali ini adalah salah satu perkara untuk mematangkan pasukan sebab untuk Sukan Sea kali ini, kita hantar pasukan remaja.

"Mereka juga sedang dalam rangka persiapan untuk beraksi di Piala Dunia Remaja hujung tahun ini. Jadi, saya rasa ia adalah satu cabaran yang bagus untuk barisan pemain.

"Kita akan cuba buktikan yang kita juga mampu menghadiahkan pingat emas untuk kontinjen negara," katanya.

Ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali menerusi laporan Arena Metro sebelum ini berkata kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara mempunyai rekod yang baik di temasya dwitahunan itu dan berpeluang untuk meraih pingat emas.

Katanya, jika sasaran itu dapat dicapai, ia boleh meniup semangat untuk pasukan negara meraih pencapaian lebih besar di pentas tertinggi seperti Sukan Asia yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik jika memenangi pingat emas.

Skuad lelaki negara sememangnya unggul di pentas Sukan Sea apabila sudah memenangi 16 pingat emas Sukan Sea sejak 1971 dengan kali terakhir meraihnya di Kuala Lumpur 2017 selepas membenam Myanmar 14-0 di pentas final.

Skuad wanita juga sukar digugat apabila mempunyai tujuh emas dalam genggaman secara berturut-turut sejak di Jakarta 1997 sehingga Kuala Lumpur 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 5:58 PM