PEMAIN  Malaysia, Liau Alfarico diasak dua pemain Chile di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
PEMAIN Malaysia, Liau Alfarico diasak dua pemain Chile di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara memulakan kempen Piala Dunia Remaja dengan kemenangan bergaya 7-1 ke atas Chile pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Skuad negara bimbingan Muhamad Amin Rahim bermula garang apabila kerap berlegar di kawasan D lawan tetapi dua pukulan sudut penalti pertama yang diperolehi gagal menghasilkan gol.

Bagaimanapun penyerang negara, Mohammad Harris Iskandar Osman memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pembukaan skuad negara berpunca daripada pukulan sudut penalti ketiga pada minit ke-13.

Young Tigers menggandakan asakan selepas itu dan akhirnya memperoleh gol kedua minit ke-23 selepas pemain tengah, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar terus menguis masuk dalam kawasan D untuk menewaskan penjaga gol Chile, Julian Valenzuela.

Bersambung separuh masa kedua, Chile memanfaatkan pukulan sudut penalti pertama mereka sekali gus merapatkan jurang menerusi jaringan kapten pasukan, Sebastian Wolansky minit ke-34.

Skuad negara bagaimanapun pantas bangkit selepas itu apabila Andywalfian Jeffrynus menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-36 sebelum menambah gol keempat tiga minit kemudian menerusi Azmilmuizzuddin Misron, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia terus garang memburu gol dan kali ini giliran penyerang negara, Mohamad Shamir Rizmi Shamsul menambah jaringan kelima menerusi gol padang minit ke-41.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Shahmie Irfan Suhaimi tenang menggalas tugasnya apabila terus meletakkan Malaysia di kedudukan selesa dengan menjaringkan gol keenam minit ke-47 sebelum dia menyempurnakan penalti stroke minit ke-55.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir menyaksikan perlawanan hari ini.

Skuad negara akan turun pada perlawanan kedua bertemu juara bertahan, Argentina, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 10:22 PM