AMIN kelihatan tenang selepas skuad hoki remaja negara tewas di tangan Belgium, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
AMIN kelihatan tenang selepas skuad hoki remaja negara tewas di tangan Belgium, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengendali skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim tetap memuji prestasi pemainnya yang mempamerkan aksi konsisten meskipun tewas kepada Belgium pada perlawanan klasifikasi kesembilan sehingga ke-12, Piala Dunia Remaja, hari ini.

Jelas Amin, kekalahan memeritkan menerusi penalti shoot-out 3-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar, terubat apabila melihat kesungguhan barisan pemainnya beraksi sepanjang 60 minit perlawanan.

"Biarpun tewas saya kena bagi setinggi pujian kepada pemain, sejak dari awal saya menaruh kepercayaan kepada pasukan saya.

"Mereka pamerkan aksi terbaik sepanjang 60 minit menentang Belgium. Kami tetap menyerang biarpun ketinggalan 0-2.

"Kami buat kebangkitan, betul kami tidak dapat sempurnakan pukulan sudut penalti, tetapi gol penyamaan menerusi penalti stroke (Harris) terhasil menerusi gerakan daripada pukulan sudut penalti dan empat pukulan sudut penalti lain turut menepati sasaran.

"Kalau kami dapat menyempurnakan empat pukulan sudut penalti awal, kami sudah pasti berada di hadapan. Bagaimanapun, semangat pemain tidak luntur dan bangkit untuk terus berjuang dan mereka buktikan segala-galanya di atas padang," kata Amin pada sidang media selepas perlawanan, hari ini.

Jelas bekas pemain skuad negara, kini barisan pemainnya mempunyai peluang terakhir untuk memperbaiki prestasi mereka menerusi perlawanan penentuan tempat ke-11/12, pada Jumaat ini.

Belgium memecah kebuntuan selepas Max Luyten bijak mencari ruang dalam kawasan D untuk menewaskan penjaga gol negara pada minit ke-28.

Hujan lebat menyaksikan aksi separuh masa kedua terpaksa ditangguhkan selama 40 minit dan Belgium dilihat tampil lebih agresif, sekali gus memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Hugo Labouchere minit ke-36.

Skuad negara memperoleh gol pertama hasil jaringan padang pemain tengah, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari minit ke-37.

Mereka kemudian meraih gol penyamaan menerusi penalti stroke Mohammad Harris Iskandar Osman minit ke-51 untuk memaksa perlawanan ditentukan menerusi penalti shoot-out.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 7:01 PM