SKUAD negara tewas kepada Afrika Selatan. FOTO FIH
SKUAD negara tewas kepada Afrika Selatan. FOTO FIH
Oleh Jugjet Singh


Rourkela, India: Skuad hoki lelaki negara harus bangkit dari sudut mental dan juga fizikal bagi pertemuan dengan Jepun, esok.

Pasukan kendalian Arul Selvaraj tewas 3-6 di tangan Afrika Selatan dalam penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 dan selepas perlawanan itu kapten Afrika Selatan, Dayaan Cassiem berkata: "Kami saling bersama, selepas kami terlepas banyak gol dalam kejohanan ini dan ia membuatkan kami lebih baik dengan kemenangan ini."

Ini menunjukkan Afrika Selatan belajar daripada kesilapan mereka dan meraih kemenangan pertama dalam Piala Dunia selepas mengalami kekalahan dalam peringkat kumpulan manakala prestasi Malaysia menurun selepas tewas di tangan Sepanyol.

Kapten Jepun dalam pada itu memberikan mesej ringkas kepada rakan sepasukannya menjelang pertembungan dengan Malaysia.

"Kami perlu menggunakan otak (dan bermain), semudah itu," kata Tanaka Seren.

Biarpun begitu, mesej berkenaan juga boleh diguna pakai buat pemain Malaysia.

Untuk rekod, Jepun masih belum meraih kemenangan di Bhubaneswar-Rourkela apabila mereka kalah 0-3 di tangan Jerman, 1-2 (Korea Selatan) 1-7 (Belgium) dan 0-8 (India).

Pada edisi 2018, Malaysia menamatkan peringkat kumpulan di tempat keempat dan tidak beraksi dalam perlawanan klasifikasi.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menggunakan sistem yang kompleks untuk mengklasifikasi pasukan ke-13 hingga ke-16 dan Malaysia menamatkan kempen di tempat ke-15 manakala Afrika Selatan ke-16.

Untuk kali ini, FIH memutuskan pasukan yang kalah di suku akhir tidak perlu bermain apa-apa perlawanan dan disusun berdasarkan sistem mereka yang kompleks sehingga menyebabkan peminat serta wartawan kurang berpuas hati dengan situasi berkenaan.

Sekiranya Malaysia menewaskan Jepun manakala Perancis menewaskan Chile, Malaysia dan Perancis akan berkongsi kedudukan ke-13 manakala Chile dan Jepun ke-15.

Format ini nyata kurang menyenangkan buat peminat dan mungkin pasukan yang bertanding.

"Edisi kali ini hampir menjadi baik buat kita selepas meraih dua kemenangan ke atas Chile dan New Zealand, ada harapan yang kita mampu menewaskan Sepanyol dalam perlawanan kelayakan ke suku akhir.

"Pemain saya bermain yang terbaik dan tidak bernasib baik dalam penentuan penalti. Saya jangkakan mereka dapat membawa momentum perlawanan dengan Sepanyol dalam dua perlawanan seterusnya dan tamat di tempat kesembilan tetapi sesuatu berlaku ketika menentang Afrika Selatan dan ia tidak boleh berlaku lagi apabila bertemu Jepun," kata jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 5:20 PM