SKUAD hoki negara meneruskan misi untuk menduduki tempat ke-9 di Piala Dunia Hoki 2023. FOTO FIH
SKUAD hoki negara meneruskan misi untuk menduduki tempat ke-9 di Piala Dunia Hoki 2023. FOTO FIH
Jugjet Singh


Rourkela, India: Pemain hoki Malaysia dipuji peminat dan ahli politik meskipun tidak layak ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela.

Ini kerana, mereka bermain sepenuh hati ketika seri 2-2 dengan Sepanyol selepas tewas 3-4 dalam penentuan penalti 'shootout' di peringkat crossover.

Australia kemudiannya menewaskan Sepanyol 4-3 pada suku akhir, semalam, dan Malaysia akan bertemu Afrika Selatan dalam perlawanan klasifikasi tempat ke 9-16.

Bagaikan kebetulan, Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-15 dan Afrika Selatan di tempat ke-16 dalam saingan Piala Dunia 2018 Bhubaneswar di Stadium Kalinga dan esok, mereka akan bertemu semula.

Bagaimanapun, tiada ruang untuk pasukan negara tewas menentang Afrika Selatan, dan pemain hoki Malaysia tahu mereka akan 'dibunuh' jika tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan itu nanti.

Jika anak buah jurulatih Arul Selvaraj menewaskan Afrika Selatan, mereka akan bertemu pemenang dalam satu lagi aksi antara Jepun dan India, sekali gus menaikkan ranking Malaysia.

Bagaimanapun jika tewas, Malaysia akan bertemu pasukan kalah dalam aksi antara India dan Jepun.

Pemain Malaysia, dari penjaga gol hingga penyerang ketika ini kelihatan seperti sudah pulih dari perlawanan tempoh hari hasil sokongan semua pihak di negara ini.

"Harimau saya tidak mempunyai pilihan selain untuk melawan dan mencakar lawan mereka untuk menuju ke kedudukan ke-9.

"Afrika Selatan perlu ditewaskan walau apa cara sekalipun di Stadium Birsa Munda (di Rourkela)," kata jurulatih Malaysia, Arul Selvaraj.

Untuk rekod, Birsa Munda mempunyai kenangan baik buat pasukan negara kerana meskipun tewas 0-4 kepada Belanda, mereka bangkit menewaskan Chile 3-2 dan kemudian New Zealand 3-2 di Stadium Kalinga.

"Pemain melupakan kekalahan Sepanyol itu dan senyuman kembali terukir ketika latihan dan sesi taktikal.

"Kami bermain dengan Afrika Selatan berkali-kali dan mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka. Pukulan sudut penalti kami menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan sejak datang ke Birsa Munda dan itu adalah perkembangan positif," kata Arul.

Ketika menentang Sepanyol di crossover, penyerang Malaysia hanya memenangi satu pukulan sudut penalti dan ia gagal disempurnakan.

Sebaliknya, Sepanyol mendapat lapan pukulan sudut penalti dan satu pukulan penalti sahaja berjaya disempurnakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 7:11 PM