PERLAWANAN Malaysia menentang Sepanyol. FOTO FIH
PERLAWANAN Malaysia menentang Sepanyol. FOTO FIH
Jugjet Singh


Bhubaneswar: Tidak mudah untuk bangun pagi selepas kekalahan yang menyakitkan hati.

Skuad hoki negara hampir layak ke suku akhir Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela namun nasib tidak menyebelahi mereka pada aksi shoot out yang sangat mendebarkan.

Selepas terlepas slot ke suku akhir, Malaysia sekarang ini akan beraksi dalam saingan klasifikasi kesembilan hingga ke-16.

Untuk rekod pada Piala Dunia sebelum ini yang juga diadakan di Bhubaneswar, Malaysia menamatkan saingan di tempat ke-15 daripada 16 pasukan.

Terikat 2-2 dengan pasukan di tangga kelapan, Sepanyol pada aksi sebenar dan 3-3 di shoot out, ia adalah luar biasa buat anak buah Arul Selvaraj yang menyertai Piala Dunia dari ranking ke-11 sebelum melonjak ke tangga kesembilan selepas mengalahkan Chile dan New Zealand 3-2.

Kekalahan semalam sangat menyakitkan, menyebabkan Arul memanggil seorang demi seorang anak buahnya ke bilik hotel dan bercakap dengan mereka.

Beliau memberi galakkan, memuji dan menaikkan motivasi pemainnya seperti ibu dan bapa kepada pemain.

"Ia adalah saat yang menyakitkan kerana hampir mencatat kemenangan dan kemudian tewas pada shoot out sudden death.

Mereka melakukan yang terbaik untuk negara dan keluarga, dan itulah sebabnya semua pemain dan pegawai tertekan dan saya terpaksa meningkatkan motivasi mereka dengan menunjukkan sifat-sifat positif yang ada pada mereka.

"Sesetengah daripada mereka sangat patah hati, bahawa bermain untuk tempat kesembilan bukanlah sesuatu yang mudah. ​​Tetapi mereka tahu, mereka perlu melupakan kesakitan tumpas kepada Sepanyol dan berharap untuk menewaskan Afrika Selatan walau apa pun," kata Arul.

Pagi Isnin adalah hari yang suram untuk Malaysia dan India, yang juga tewas dalam penentuan dramatik kepada New Zealand pada malam yang sama, dan kembali ke Rourkela untuk tuan rumah juga bermain di tangga bawah klasifikasi.

Afrika Selatan memenangi Piala Negara-Negara sulung pada akhir November, di mana Malaysia menduduki tempat keempat.

Bagaimanapun, pada Piala Azlan Shah Malaysia menewaskan Afrika Selatan 7-2 dalam perjalanan untuk menjadi juara buat kali pertama selepas 39 tahun.

Pada Piala Dunia kali ini, Afrika Selatan bermain dalam Kumpulan A dan tewas kesemua tiga perlawanan menentang Argentina (1-0), Australia (9-2) dan Perancis (2-1).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 3:01 PM