PEMAIN negara meraikan kemenangan 3-2 ke atas Chile pada perlawanan Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023, semalam. FOTO Facebook Malaysian Hockey Confederation
PEMAIN negara meraikan kemenangan 3-2 ke atas Chile pada perlawanan Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023, semalam. FOTO Facebook Malaysian Hockey Confederation
Jugjet Singh


Rourkela: Skuad hoki negara merampas semula kedudukan ranking ke-10 dunia selepas menewaskan Chile 3-2 dalam saingan Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, semalam.

Korea Selatan pula berada di ranking ke-11 selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemaskini mata ranking serta-merta sebaik berakhirnya perlawanan.

Sebelum ini, FIH mengemas kini kedudukan secara berkala, kadang kala beberapa bulan selepas kejohanan tamat.

Malaysian Tigers kini mengumpul 1,863.52 mata manakala New Zealand di tempat ke-9 dengan 1,926 mata.

Malaysia dan New Zealand akan bertemu di Bhubaneswar, Khamis ini untuk perlawanan terakhir Kumpulan C dan sekiranya anak buah Arul Selvaraj dapat meraih kemenangan, ia akan menyaksikan mereka berpeluang naik di ranking lebih tinggi kerana hanya 62.48 mata memisahkan kedua-dua pasukan.

"Mata Piala Dunia dikemas kini serta-merta dan ia sesuatu yang bagus kerana pasukan dapat melihat kemajuan mereka sejurus selepas perlawanan.

"Bagi Malaysia, adalah sangat penting untuk kita terus memperbaiki ranking dunia.

"Kami akan menentang New Zealand dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menentukan lawan selepas ini selain memperoleh mata ranking yang berharga," kata Arul.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sebelum bermulanya Piala Dunia sudah menyatakan misi mereka adalah untuk kembali menduduki ranking ke-10 dunia dengan mengumpul mata sebanyak mungkin.

Malaysia dan New Zealand dilihat mempunyai kualiti sama selepas kedua-duanya dibelasah 0-4 oleh Belanda dan meraih kemenangan ke atas Chile.

Malaysia bergelut untuk menewaskan Chile 3-2, manakala New Zealand terpaksa mempamerkan aksi paling terbaik untuk menewaskan Chile 3-1.

Sementara itu, Arul berkata, terdapat salah faham dengan pegawai media FIH yang menyaksikan beliau tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan dengan Chile, semalam.

"Saya dan Marhan (Jalil) sedang menunggu pegawai Media FIH untuk memanggil kami ke sidang media.

"Tetapi mereka memaklumkan ada perubahan rancangan dan hanya Marhan dan Norsyafiq (Sumantri) yang diperlukan. Sebab itu saya tidak menghadiri sidang media itu," kata Arul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 1:29 PM