MARHAN (kanan) bersama ketua jurulatih Arul (kir). FOTO Jugjet Singh
MARHAN (kanan) bersama ketua jurulatih Arul (kir). FOTO Jugjet Singh
Oleh Jugjet Singh


Rourkela, India: Kapten skuad hoki negara, Marhan Jalil mengambil tanggungjawab sepenuhnya di sebalik kekalahan 3-6 di tangan Afrika Selatan pada perlawanan klasifikasi 9 hingga 16 di Piala Dunia Bhubaneswar-Rourkela, semalam.

Beraksi pada sebelah pagi di Stadium Birsa Munda, Malaysian Tigers ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama dan kemudian terpaksa mengejar lawan mereka.

"Selepas tewas kepada Afrika Selatan, barisan pemain sangat kecewa. Sebagai seorang pemimpin, saya bertanggungjawab dan akan memotivasikan rakan sepasukan kerana kami mahu menamatkan kempen ini dengan kemenangan.

"Reaksi kami terlalu perlahan ketika Afrika sering melakukan serangan balas. Apabila mereka mendapat peluang, mereka memanfaatkan sepenuhnya. Kami tidak menjangkakan tiga gol dijaringkan dengan cara seperti ini.

"Kami cuba bangkit tetapi kami tidak mendapat keputusan yang positif," kata Marhan.

Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj memberitahu pemainnya selepas perlawanan bahawa hoki bukan sekadar hobi tetapi ia adalah pekerjaan bagi menampung keluarga dan mereka perlu sentiasa mempunyai mentaliti untuk menang.

"Apa yang jurulatih Arul beritahu memang betul. Ini adalah pekerjaan kami, sama seperti sukan lain. Daripada sukan ini kami mencari rezeki untuk membantu keluarga dan melakukan perkara lain. Ia bukan hobi. Kalau hobi, kami boleh saja tukar kepada sukan lain. Apa yang dikatakan adalah betul. Kami perlu lebih serius.

"Selepas perlawanan itu, kami mengadakan pertemuan dan berkongsi pendapat mengapa kami tewas. Kami menyedari ada sesuatu yang tidak kena, iaitu kami tidak melakukan perkara yang sepatutnya kami lakukan.

"Kami akan bersedia dari segi mental dan taktikal untuk menamatkan kempen Piala Dunia dengan baik.

"Sejak bermulanya Piala Dunia, kami tidak mahu bermain di posisi ini (9-16) (mahu bermain di suku akhir), tetapi segala-galanya sudah berlaku. Apa pun, kami akan bermain untuk menang menentang Jepun," kata Marhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 5:13 PM