PEMAIN skuad hoki negara meraikan kemenangan 3-2 ke atas New Zealand, semalam. FOTO FIH
PEMAIN skuad hoki negara meraikan kemenangan 3-2 ke atas New Zealand, semalam. FOTO FIH
Jugjet Singh


Bhubaneswar, India: Skuad hoki negara kini berada di ranking kesembilan dunia selepas menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023, semalam.

Mendapatkan mata ranking antara misi skuad Speedy Tigers di Piala Dunia kali ini memandangkan ia akan menjadi penentu kepada kedudukan pasukan negara di Sukan Asia Hangzhou, tahun ini.

Skuad negara menyasarkan untuk memenangi emas di pentas Sukan Asia, sekali gus layak secara automatik beraksi di Olimpik Paris 2024 selepas kali terakhir beraksi di temasya itu pada edisi Sydney 2000.

"Selepas menang dua perlawanan (3-2 menentang Chile dan New Zealand), kami bukan sahaja semakin menghampiri suku akhir, tetapi berpindah ke nombor 9 dunia.

"Kedudukan sangat penting untuk Malaysia diletakkan dalam kumpulan berbeza, katakan dengan India dan Korea Selatan di Sukan Asia nanti.

"Ini bagi mengelak pertembungan awal dan hanya berdepan mereka di peringkat kalah mati.

"Pada masa ini, India adalah pasukan Asia yang menduduki ranking tertinggi di nombor enam, manakala Korea Selatan berada di kedudukan ke-10.

"Semua ini akan berubah pada penghujung Piala Dunia dan itulah sebabnya penting bagi Malaysia untuk menewaskan Sepanyol pada aksi crossover dan melangkah ke suku akhir," kata Arul.

Prestasi terbaik Malaysia di Piala Dunia adalah menduduki tempat keempat pada edisi 1975 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Di Bhubaneswar, Speedy Tigers tewas 4-0 kepada Belanda pada perlawanan pembukaan sebelum bangkit dengan kemenangan berturut-turut menentang Chile dan New Zealand.

Pasukan di kedudukan kelapan dunia Sepanyol akan menanti skuad negara di pusingan cross over, Ahad ini, bagi merebut tempat ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 2:59 PM