KAPTEN skuad hoki negara, Marhan Jalil (tengah) mendapat tonik tambahan apabila dipilih Pemain Terbaik Perlawanan ketika menewaskan New Zealand, 3-2, semalam. FOTO FIH
KAPTEN skuad hoki negara, Marhan Jalil (tengah) mendapat tonik tambahan apabila dipilih Pemain Terbaik Perlawanan ketika menewaskan New Zealand, 3-2, semalam. FOTO FIH
Jugjet Singh


Bhubaneswar, India: Pasukan Sepanyol yang kini berada satu anak tangga di atas Malaysia dilihat bakal menjadi halangan utama untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki 2023.

Pada edisi Piala Dunia di India tahun ini, Sepanyol dilihat kurang menyerlah selepas tewas 0-2 kepada India dan tewas 0-4 di tangan England serta hanya meraih satu kemenangan ke atas Wales 5-1 dalam aksi Kumpulan D, sekali gus menduduki tempat ketiga kumpulan itu

Malaysia dijadual bertemu Sepanyol pada aksi crossover penentuan ke suku akhir pada Ahad ini dan pengendali skuad negara, Arul Selvaraj sudah menjalankan tugas dengan sebaiknya untuk perlawanan itu.

"Kemenangan ke atas New Zealand (3-2) adalah tonik terbaik buat pemain untuk melangkah ke pusingan seterusnya di Piala Dunia.

"Ia bukan saja meletakkan kami berada di posisi layak ke suku akhir, tetapi satu pembakar semangat untuk berdepan Sepanyol.

"Selain itu, Sepanyol ditewaskan 0-4 oleh England dan selepas melihat perlawanan itu, saya dan barisan kejurulatihan mempunyai idea bagaimana perancangannya untuk bertemu Sepanyol Ahad ini," kata Arul.

Berdasarkan cap antarabangsa, Malaysia mempunyai lebih ramai pemain berpengalaman berbanding Sepanyol pada edisi Piala Dunia kali ini.

Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan adalah dalam perlawanan ujian pada 2019, dan ketika itu, Malaysia menang 4-3.

Satu lagi tonik berharga buat Malaysia adalah apabila Marhan Jalil dan Norsyafiq Sumantri menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan ketika menentang New Zealand dan Chile.

"Penghargaan ini memberi makna yang besar kepada pemain dan menjadikan Marhan serta Norsyafiq dapat melakukan lebih baik ketika menentang Sepanyol.

"Kami perlukan kelebihan ini tidak kiralah sekecil manapun, untuk memenangi perlawanan penting ini dan layak ke suku akhir," kata Arul.

Dalam pada itu Arul turut memberitahu dia ada sebab tersendiri apabila memilih Shahmie Irfan Suhaimi, 20, untuk meraih cap pertamanya berbanding Tengku Nasrul Ikmal, yang mempunyai 12 kap.

"Shahmie salah seorang daripada lima pemain yang saya panggil untuk sertai latihan bersama skuad senior selepas beberapa pemain cedera di Piala Negara-Negara di Afrika Selatan.

"Dalam latihan dan perlawanan persahabatan, saya dapati dia mempunyai sikap berani untuk memberikan cabaran kepada pemain senior dan lebih berpengalaman.

"Dia adalah salah seorang pemain yang beraksi dengan baik di Piala Sultan Johor dan jurulatih (remaja), Amin Rahim mengesyorkannya.

"Saya suka pendekatannya ketika sesi latihan dan apabila Shahril (Saabah) mengalami hamstring, saya memilih Shahmie berbanding Tengku untuk perlawanan dengan New Zealand dan dia nyata tidak mengecewakan," kata Arul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 3:07 PM