SUBAHAN (dua dari kiri) memberi taklimat mengenai skuad hoki lelaki negara yang akan berentap di Piala Dunia kepada Hannah (tengah) dan Adam Adli (kiri). FOTO GENES GULITAH
SUBAHAN (dua dari kiri) memberi taklimat mengenai skuad hoki lelaki negara yang akan berentap di Piala Dunia kepada Hannah (tengah) dan Adam Adli (kiri). FOTO GENES GULITAH
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mahu skuad hoki lelaki negara berada di kelompok 10 terbaik selepas saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India yang bermula 13 Januari ini.

Justeru, Subahan berharap pemain dapat menampilkan persembahan terbaik di Bhubaneswar-Rourkela bagi menghasilkan keputusan positif, sekali gus dapat memperbaiki kedudukan ranking pasukan negara.

"Kita perlu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi membuktikan yang kita adalah sukan berpasukan nombor satu di Malaysia.

"Saya sedar bukan mudah untuk bermain di Piala Dunia apabila perlu berdepan dengan pasukan utama dunia.

"Namun, saya optimis dengan semangat juang tinggi dimiliki pemain dan mereka boleh berikan persembahan terbaik.

"Pada edisi Piala Dunia lalu kita akui tidak mendapat keputusan baik apabila dalam satu kumpulan dengan tiga bekas juara dunia iaitu Belanda, Jerman dan Pakistan.

"Kali ini, kita diundi bersama Belanda, Chile dan New Zealand. Saya percaya kita boleh menghasilkan keputusan baik menentang Chile dan New Zealand, tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh buat yang terbaik berdepan Belanda," katanya.

Subahan berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Hadir sama, timbalannya, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj ketika ini berada di kedudukan ke-11 dunia, turun satu anak tangga selepas berakhir saingan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, bulan lalu.

Malaysia yang mengumpul 1840.08 mata hanya dipisahkan 12.94 mata dengan Korea Selatan yang menghuni ranking ke-10 dunia.

Sementara itu, Hannah menyuarakan keyakinan pasukan negara mampu menampilkan persembahan terbaik berdasarkan persiapan rapi dilakukan bagi menghadapi saingan Piala Dunia kali ini.

"Saya pasti pasukan hoki negara sudah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini. Saya yakin, pemain mampu berdepan segala tekanan di dalam atau di luar padang hasil daripada persiapan taktikal, fizikal dan mental.

"Saya ucapkan semoga maju jaya untuk semua," katanya.

Skuad negara akan menghadapi dua aksi peringkat Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di Piala Dunia adalah tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 8:47 PM