HANNAH berharap skuad hoki negara mencapai keputusan positif di Piala Dunia di India. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH berharap skuad hoki negara mencapai keputusan positif di Piala Dunia di India. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengharapkan skuad hoki negara mampu melangkah lebih jauh di kempen Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela, India.

Hannah berkata, berdasarkan kepada persiapan pasukan negara yang begitu rapi, skuad Malaysia Tigers mampu melakar kejutan dengan sekurang-kurangnya melepasi sasaran iaitu beraksi di peringkat suku akhir.

Pada masa sama, beliau mengharapkan penyokong sukan tanah air berdoa supaya skuad kendalian A Arul Selvaraj tidak berhadapan masalah untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan pertama menentang Belanda, Sabtu ini.

"Kita berharap pasukan hoki negara meraih kejayaan positif dan selamat maju jaya kepada mereka di kejohanan Piala Dunia itu.

"Harap mereka boleh melangkah lebih jauh iaitu beraksi di peringkat final dan jika itu dapat berjaya dicapai, kita akan mengadakan tayangan skrin besar di kawasan tertentu," katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Selepas menentang juara tiga kali, Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C pada kejohanan itu, Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia dijadual berdepan Chile yang berada di ranking ke-22 dunia pada 16 Januari, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand (kesembilan dunia) pada 19 Januari.

Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Skuad hoki Malaysia sudah sembilan kali beraksi di pentas Piala Dunia dengan pencapaian terbaik adalah memperoleh tempat keempat di tanah air sendiri pada 1975.

Malaysia berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan seterusnya walaupun berdepan cabaran getir iaitu Belanda, namun kemungkinan mampu mencatatkan kemenangan bertemu Chile dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 6:53 PM