PEMAIN negara galas tugas getir di India.
PEMAIN negara galas tugas getir di India.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kapten pasukan hoki negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan mengambil semangat kejayaan pasukan Maghribi untuk membawa Malaysian Tigers di pentas Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India bulan depan.

Menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan di dua kejohanan terakhir, Najmi yakin dengan kemampuan pemain negara yang mempunyai potensi cerah terutama dengan adanya pakar flick berkelas dunia, Muhammad Razie Abdul Rahim.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-11 dunia meletakkan sasaran mara hingga ke suku akhir.

"Saya yakin, Malaysia boleh lakukan kejutan. Kita ambil contoh Maghribi dengan semangat mereka ada, mereka boleh mara hingga ke separuh akhir Piala Dunia Qatar kerana mereka tak takut melawan negara besar.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah semangat dan kata-kata positif dari semua pihak termasuklah doa dari seluruh rakyat Malaysia," katanya yang beraksi di posisi pertahanan.

Malaysia kini mendapat tonik berharga dengan kepulangan kapten Muhammad Marhan Jalil dan penyerang prolifik, Muhammad Shahril Saabah kembali bersama pasukan dalam sesi latihan utama.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj akan berlepas ke India pada 6 Januari ini bagi menghadapi satu aksi pemanas badan sebelum menentang Belanda (14 Januari), Chile (16 Januari) dan New Zealand (19 Januari) dalam saingan Kumpulan C.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah iaitu meraih tempat keempat sewaktu edisi 1975 di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:28 PM