KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj. FOTO ARKIB NSTP
KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki kebangsaan kini bersedia untuk memberikan cabaran dan akan menghadapi setiap perlawanan 'seperti bermain di perlawanan akhir' pada Piala Hoki Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dari 28 November hingga 4 Disember di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj berkata, walaupun masih ada dua bulan sebelum pertandingan itu bermula, persediaan khusus untuk kejohanan itu sudah dimulakan.

"Kami melakukan banyak perancangan dan persediaan sejak berbulan-bulan lalu, kami berlatih dalam keadaan cuaca yang ekstrem dari 10 pagi dan hingga 4.30 petang.

"Sebagai tambahan, kami akan lalui enam perlawanan persahabatan pada jelajah di Sepanyol dan Belgium bermula minggu hadapan, yang merupakan sebahagian daripada rancangan persediaan kami," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

FIH melalui satu kenyataan hari ini, mengumumkan jadual perlawanan dan kumpulan pertandingan (dua kumpulan dengan empat negara setiap satu) untuk Kejohanan Hoki Negara-Negara FIH, lelaki dan wanita.

Cabaran Malaysia pada kejohanan itu akan dibawa skuad lelaki negara dan diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Jepun dan Kanada.

Sementara pasukan tuan rumah, Afrika Selatan akan bermain dalam Kumpulan A bersama Perancis, Ireland dan Pakistan.

Perlawanan pembukaan akan menyaksikan pertemuan dua negara Asia iaitu pasukan negara akan berhadapan Korea Selatan pada 28 November di stadium Universiti North-West Potchefstroom dan final akan berlangsung pada 4 Disember.

Piala Hoki Negara-Negara FIH menyaksikan permulaan kepada promosi dan peningkatan Liga Pro Hoki FIH dengan pasukan yang memenangi Piala Hoki Negara-Negara FIH ini akan berpeluang untuk dinaikkan ke Liga Pro Hoki FIH 2023-2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 9:46 PM