NAJMI mengesahkan kehadiran Faizal ke dalam skuad hoki kebangsaan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
NAJMI mengesahkan kehadiran Faizal ke dalam skuad hoki kebangsaan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi skuad hoki negara, Faizal Saari kembali memperkuatkan Malaysian Tigers untuk Kejohanan Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 28 November sehingga 4 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Najmi Razak hari ini secara rasminya mengumumkan barisan 20 pemain skuad lelaki negara untuk kejohanan itu.

Menerusi senarai 20 pemain ke Afrika Selatan, Malaysia yang akan berlepas esok akan menampilkan empat pemain yang tidak beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022, baru-baru ini.

"Empat pemain itu ialah penjaga gol, Adrian Andy Albert; pemain pertahanan, Syarman Mat Tee yang masih belum mengumpul sebarang penampilan bersama skuad senior kebangsaan dan dua pemain bahagian serangan iaitu Faizal Saari yang baru kembali daripada Belanda selepas beraksi bersama kelab hoki ZSV Schaerweijde dalam Liga Utama Belanda serta Muhamad Ramadan Rosli.

"Kecederaan yang dialami oleh penjaga gol Mohd Zaimi Mat Deris dan pertahanan Muhammad Syafiq Hassan pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini menyaksikan tempat mereka akan diisi oleh Adrian Andy Albert (penjaga gol) dan Syarman Mat Tee (pertahanan)," kata MHC dalam satu kenyataan.

Sementara itu tiga lagi pemain yang masih berdepan kecederaan sebelum ini iaitu Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Shahril Saabah dan Muhajir Abdu Rauf, kini masih dalam proses pemulihan dan mengikuti program pemulihan yang disediakan buat mereka.

Walaupun setiap pasukan dibenarkan untuk membawa 20 pemain dalam kejohanan itu, namun hanya 18 pemain akan didaftarkan sebagai pemain utama sementara dua pemain akan diletakkan di dalam keadaan bersiap sedia untuk menggantikan mana-mana pemain sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau risiko jangkitan Covid-19.

Senarai 18 pemain itu hanya akan diputuskan selepas Malaysian Tigers tiba di Potchefstroom selain tugas selaku kapten pasukan bagi kejohanan ini akan terus digalas oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kanada, Korea Selatan dan Jepun selain format kejohanan menyaksikan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke separuh akhir bagi merebut slot final, sekali gus mencabar gelaran juara edisi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 7:19 PM