MESSI dikawal ketat dua pemain Uruguay. FOTO AFP
MESSI dikawal ketat dua pemain Uruguay. FOTO AFP
Agensi

Brasilia: Lionel Messi sekali lagi menjadi nadi Argentina di Copa America dan membuktikan dia mampu mengubah nasib pasukannya.

Bintang Argentina itu membuka akaun jaringan di kejohanan itu dengan meledak sepakan percuma sensasi pada aksi pertama menentang Chile yang berakhir 1-1.

Dia kemudian membantu jaringan kemenangan 1-0 ke atas Uruguay dalam saingan Kumpulan B apabila hantaran cantiknya disudahkan Guido Rodriguez.

Messi yang mendapat bola hantaran sepakan sudut pendek memperdayakan pemain lawan dan membuat hantaran kepada Rodriguez yang menanduk masuk ke gawang Uruguay.

Ia tiga mata berharga buat Albiceleste sekali gus menghampiri suku akhir kejohanan namun Paraguay masih boleh memintas jika mereka menang esok.

Penyerang Barcelona itu tidak pernah menjuarai Copa America dengan ramai berpendapat kejohanan kali ini peluang terakhir dia menjulang trofi dan Argentina amat bergantung kepada magis Messi untuk mereka bergelar juara.

Berdasarkan dua aksi pertama di kejohanan ini, Messi menghampiri prestasi terbaiknya tetapi pemain berusia 33 tahun itu berharap dapat mencapai tahap lebih tinggi untuk menutup mulut pengkritik seterusnya menjulang trofi pertama bersama pasukan kebangsaan Argentina.

Semua tahu jika Messi tidak disekat dan berada pada tahap terbaik, Argentina sukar digugat mana-mana pasukan walaupun tuan rumah, Brazil.

Argentina akan berdepan Paraguay di Stadium Nacional de Brasilia pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:28 AM