FERREIRA (kanan) cuba mengasak penjaga gol Trinidad and Tobago, Marvin Phillip. FOTO REUTERS
FERREIRA (kanan) cuba mengasak penjaga gol Trinidad and Tobago, Marvin Phillip. FOTO REUTERS
AFP

Miami: Jesus Ferreira muncul pemain pertama melakukan hatrik dua kali berturut-turut untuk Amerika Syarikat (AS) apabila tuan rumah Piala Emas itu menewaskan Trinidad and Tobago, 6-0, hari ini, untuk layak ke suku akhir.

Jamaica turut mara ke suku akhir dari Kumpulan A selepas mudah menewaskan St Kitts and Nevis, 5-0, di Santa Clara, California.

AS dan Jamaica menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan tujuh mata selepas pertarungan sesama mereka berakhir dengan keputusan seri, tetapi AS menduduki tangga teratas kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan.

Trinidad hampir membuka jaringan pada minit ke-11 hasil hantaran lintang pemain sayap, Levi Garcia dari sebelah kanan, namun sepakan voli Joevin Jones tinggi melepasi palang.

Tiga minit kemudian, Ferreira yang menjaringkan tiga gol ketika menang 6-0 ke atas St Kitts, Rabu lalu, membuka jaringan untuk melakar sejarah apabila menolak masuk hantaran DeJuan Jones.

Ferreira yang juga penyerang kelab FC Dallas kemudian memanfaatkan bola muntah untuk menggandakan kedudukan buat tuan rumah.

Ferreira yang dilahirkan di Colombia melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti selepas Djordje Mihailovic dijatuhkan di dalam kotak penalti.

AS kelihatan hilang momentum selepas rehat yang menyaksikan Trinidad hampir menjaringkan gol menerusi Shannon Gomez pada minit ke-62.

Bagaimanapun, pemain gantian berusia 19 tahun, Cade Cowell menjadikan kedudukan 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:15 AM