SHAHRIL sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada FAM dengan kadar segera. FOTO Bernama
SHAHRIL sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada FAM dengan kadar segera. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima satu tamparan hebat apabila Exco badan induk bola sepak itu Datuk Seri Shahril Mokhtar mengumumkan meletak jawatan hari ini.

Berita mengejutkan itu disahkan sendiri oleh Shahril menerusi kiriman Whatsapp yang menyatakan beliau sudah pun menghantar surat peletakan jawatan terbabit hari ini.

"Saya sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada FAM dengan kadar segera," katanya, kepada Arena Metro.

Walaupun tidak berkongsi secara lebih terperinci mengenai punca beliau meletakkan jawatan namun dipercayai ia mungkin mempunyai hubung kait terhadap hukuman yang diterima Selangor FC semalam.

Mengikut rekod, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM turut dilantik sebagai Pengurus Skuad Bawah 23 tahun (B-23) pada tahun lalu.

Sebelum ini, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu 'tidak hadir' pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.

Berikutan itu, Selangor FC menerusi kenyataannya sedang meneliti dan mengkaji semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya susulan hukuman yang dikenakan MFL terhadap kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 6:41 PM