MESSI (kiri) membantu Argentina untuk kalahkan Uruguay 3-0. FOTO AFP
MESSI (kiri) membantu Argentina untuk kalahkan Uruguay 3-0. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Lionel Messi meledak jaringan pembukaan ketika Argentina menumpaskan pasukan jiran, Uruguay 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia yang menghiburkan.

Dua gol lagi menerusi Rodrigo De Paul dan Lautaro Matinez melengkapkan malam penuh cemerlang buat pasukan bimbingan Lionel Scaloni di Beunos Aires tatkala mereka mengekalkan rekod tanpa kalah di kelayakan dan merapatkan jurang kepada enam mata di belakang Brazil yang seri tanpa jaringan menentang Colombia.

Aksi separuh masa pertama penuh mendebarkan selepas percubaan kedua-dua pasukan mengenai palang sebelum Argentina memperoleh gol pembukaan.

Penyerang Uruguay, Luis Suarez dilihat banyak memberi ancaman di awal permainan dan mempunyai tiga peluang di dalam petak penalti.

Dua peluang termasuk sepakan voli akrobatik, diselamatkan oleh penjaga gol Emiliano Martinez, manakala percubaan ketiganya terkena tiang.

Argentina pula memperoleh peluang melalui Giovani Lo Celso yang menyaksikan percubaannya tersasar dan Martinez gagal menyudahkan hantaran lintang De Paul.

Akhirnya pada minit ke-38 Messi meledak gol luar biasa, sepakan lambung yang dilakukannya gagal disambut Nicolas Gonzalez namun ia terus menerjah ke gawang dan gagal diselamatkan Fernando Muslera.

Argentina memperoleh satu lagi jaringan pelik dan kali ini berpunca daripada hantaran Messi yang gagal disepak kemas Martinez namun sempat disudahkan De Paul pada minit ke-44.

Martinez akhirnya mengesahkan kemenangan Argentina pada minit ke-62 apabila tidak dikawal untuk menampan masuk hantaran lintang De Paul.

"Kami beraksi dalam satu perlawanan menarik, saya rasa kami sudah banyak meningkat. Ia perlawanan yang sukar dan kami harus memenanginya.

"Uruguay hanya menunggu dan mereka sangat bahaya. Selepas kami menjaringkan gol pertama kami mula untuk mendapat ruang dan banyak lagi peluang terhidang," kata Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 11:29 AM