AKSI perlawanan Argentina. -FOTO Reuters
AKSI perlawanan Argentina. -FOTO Reuters
Reuters

East Rutherford, New Jersey: Argentina menjadi pasukan pertama yang menempah laluan ke suku akhir Copa America selepas jaringan lewat Lautaro Martinez membolehkan mereka menang 1-0 dalam aksi Kumpulan A ke atas Chile.

Bagaimanapun juara bertahan itu terpaksa menunggu sehingga minit ke-88 untuk mendapatkan gol kemenangan.

Rembatan Giovani Lo Celso diselamatkan oleh penjaga gol Chile, Claudio Bravo selepas sepakan sudut Lionel Messi tetapi Martinez yang berada berdekatan itu merembat masuk bola muntah itu.

Gol tersebut disahkan selepas semakan VAR bahawa tiada pemain berada dalam keadaan ofsaid.

Argentina mendahului kumpulan dengan enam mata selepas dua perlawanan, dengan Kanada di tempat kedua, tiga mata selepas kemenangan 1-0 ke atas Peru. Chile dan Peru masing-masing berkongsi satu mata.

"Perlawanan bola sentiasa seperti ini, kami perlu meneruskan dengan cara yang sama, melayan perlawanan supaya ia tidak menjadi rumit.

"Setiap sudut berada dalam keadaan sukar tetapi kami gembira bahawa pada penghujungnya kami meraih tiga mata, itulah yang kami mahu dapatkan," kata Martinez.

Kekalahan itu melebarkan rekod tanpa kemenangan Chile menentang Argentina dalam Copa America kepada 30 perlawanan.

Chile memenangi Copa dua kali tetapi tidak pernah menewaskan Argentina di kejohanan itu, dan hanya berjaya mengatasi lawannya itu menerusi penentuan penalti pada final edisi 2015 dan 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 12:18 PM