Logrono, Sepanyol: Jurulatih Sepanyol Vicente del Bosque lega sebaik melepasi ‘penderitaan’ untuk layak ke Euro 2016 dan menyifatkan juara bertahan itu semakin hampir dengan matlamat disasarkannya.

Kemenangan 4-0 Sepanyol ke atas pasukan kerdil Kumpulan C Luxembourg memastikan tangga teratas menjadi milik mereka, berbaki satu perlawanan dan skuad Del Bosque bertekad mahu menjulang gelaran Eropah buat kali ketiga berturut-turut di Perancis tahun depan.

Sepanyol jatuh ke tangga kedua di belakang Slovakia apabila tewas 1-2 di Zilina Oktober tahun lalu namun kemenangan 2-0 sewaktu perlawanan timbal balik di Oviedo meletakkan mereka kembali ke landasan manakala kemenangan ke atas Macedonia dan Luxembourg memastikan mereka layak.

“Kami melalui kempen kelayakan yang bagus tetapi dengan sedikit penderitaan,” katanya selepas perlawanan di Logrono.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana kekalahan kepada Slovakia begitu membebankan,” katanya.

Kemenangan terkini Sepanyol bagaimana dicemari dengan kecederaan penyerang Alvaro Morata dan pemain tengah David Silva yang dikeluarkan pada separuh masa pertama untuk digantikan dengan Juan Mata dan Paco Alcacer.

Alcacer memanfaatkan kesempatan itu dengan menjaringkan dua gol selain dua gol lagi sumbangan Santi Cazorla turut membuktikan dominasi La Roja.

Alcacer, penyerang Valencia berusia 22 tahun itu adalah antara barisan pemain muda yang diharapkan Del Bosque membantu kempen Sepanyol di Perancis. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:04 AM