SADDIL (kanan) cuba melepasi  pertahanan Selangor FC  di Stadium Likas. FOTO Bernama
SADDIL (kanan) cuba melepasi pertahanan Selangor FC di Stadium Likas. FOTO Bernama
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Semangat juang tinggi dan enggan mengaku kalah ditunjukkan pemain Sabah FC membolehkan pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee mengekalkan kemenangan di Stadium Likas dengan keputusan 2-1 ketika menentang Selangor FC, semalam.

Kim Swee mengakui anak buahnya berdepan saingan sengit menentang lawan berada di tangga kedua carta Liga Super, namun kesungguhan pemain akhirnya berjaya memberi kemenangan kepada pasukan.

Katanya, walaupun ada kesilapan yang menyebabkan gawang Sabah dibolosi pada awal babak kedua, secara keseluruhan , anak buahnya melakukan tugas dengan baik sehingga berjaya mencipta gol kedua yang menyebabkan Selangor berputih mata.

"Ia satu perlawanan cukup sengit kerana kita tahu Selangor pasukan cukup baik. Namun, kita menyaingi mereka terutama pada separuh masa pertama apabila kita mengawal perlawanan dengan begitu baik.

"Tapi, dengan kesilapan sendiri, kita terpaksa berusaha lebih gigih pada separuh masa kedua dan pemain menunjukkan semangat juang begitu tinggi yang mana ini penting untuk mengekalkan kemenangan di Likas," katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului permainan selepas mendapat gol pertama hasil sepakan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24, namun berjaya disamakan Selangor pada minit ke-51 menerusi Faisal Abdul Halim.

Sabah berjaya menambah jaringan pada minit ke-64 melalui sepakan percuma yang disudahkan Baddrol Bakhtiar, sekali gus memberi kemenangan dengan kelebihan 2-1 kepada skuad Sang Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 12:10 PM