PETUGAS membetulkan tempat duduk pasukan yang diterbangkan angin kencang sebelum sepak mula perlawanan di antara Sabah FC dan UiTM FC di Stadium Likas, malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
PETUGAS membetulkan tempat duduk pasukan yang diterbangkan angin kencang sebelum sepak mula perlawanan di antara Sabah FC dan UiTM FC di Stadium Likas, malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejayaan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia bukanlah satu perkara boleh membuatkan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tersenyum lebar.

Ini kerana, beliau melihat barisan anak buahnya masih mengulangi kesalahan sama apabila membenarkan lawan menjaringkan gol di saat akhir perlawanan sehingga hampir membuatkan Sabah FC tersingkir.

Selepas dibolosi saat akhir menerusi jaringan George Attram pada aksi pertama di Stadium UiTM, Shah Alam minggu lalu, situasi sama berlaku apabila Farez Aiman Marzuki memadam gol Farhan Roslan apabila menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada aksi kedua, malam tadi.

Namun, skuad Badak itu tetap lolos ke suku akhir menerusi agregat 3-2, sekali gus menempah pertemuan Derby Borneo menentang Kuching City FC.

"Perkara sama berlaku apabila kita dibolosi saat akhir perlawanan dan ini yang perlu diperbaiki.

"Kita masih terlampau selesa selepas mendahului dan ini tidak sepatutnya berlaku.

"Kita harus kekal fokus sehingga wisel penamat. Saya berpuas hati apabila kita layak, tetapi dari segi prestasi dalam dua perlawanan ini, saya rasa tidak cukup dan kita harus bangkit jika mahu layak ke peringkat seterusnya," kata Kim Swee.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui, perlawanan menentang UiTM bukanlah aksi mudah buat anak buahnya apatah lagi terpaksa beraksi dalam keadaan hujan dan padang becak.

Menurutnya, UiTM FC bermain dengan ramai pemain di bahagian pertahanan dan pujian harus diberikan kepada mereka yang menyukarkan Sabah menembusi barisan pertahanan mereka.

Sebagai rekod, Sabah FC belum pernah menjulang Piala Malaysia dengan pencapaian terbaik adalah bergelar naib juara dalam tiga edisi iaitu pada 1996, 2002 dan 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:17 PM