KIM Swee ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super JDT menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KIM Swee ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super JDT menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi berpunca daripada kegagalan mengawal permainan seperti yang dirancang.

Katanya, JDT mempunyai kualiti permainan dan corak permainan yang berbeza apabila kerap menukar rentak serangan di posisi kiri dan kanan sehingga memerangkap pemain Sabah FC yang jelas hilang punca dan tidak dapat mengimbangi kekuatan skuad kendalian Esteban Solari.

"Apabila kita dibolosi gol pertama dan selang beberapa minit gol kedua menyukarkan kita. Namun pada separuh masa kedua apabila kita cuba kehadapan kita bermain agak baik pada 20 minit pertama separuh masa kedua tapi kita gagal menjaringkan gol.

"Serang balas yang dilakukan oleh pemain JDT menyebabkan pemain saya berada dalam tekanan dan ini adalah kelebihan mereka yang turut memilik banyak pilihan daripada aspek menyerang dan menjadi punca kita dibolosi lagi pada minit akhir perlawanan," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Pada aksi yang menyaksikan skuad Badak hilang rekod tanpa kalah, gol JDT dihasilkan oleh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-20 disusuli jaringan Juan Muniz pada minit ke-39. Bersambung babak kedua giliran Syahmi Safari meledak gol pada minit ke-81 manakala Fernando Forestieri mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-89.

Kim Swee menegaskan faktor keletihan yang membabitkan Dominic Tan dan Darren Lok menjejaskan perancangannya untuk membentuk pendekatan taktikal yang ampuh selain kecederan yang dialami beberapa pemain turut menyumbang kegagalan Sabah FC beraksi konsisten pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Melaka itu tampak enggan panik dengan kekalahan pertama itu, sebaliknya menganggap ia menjadi pengajaran berguna buat setiap pemain malah mereka harus lebih matang untuk bersaing dengan kelompok pasukan terbaik.

"Selang beberapa hari iaitu tiga hari selepas selesai bermain untuk pasukan kebangsaan, Dominic (Tan), Darren (Lok) dan Stuart (Wilkin) turun beraksi lagi, jadi bukan mudah untuk mereka. Jika kita tidak bermain dengan JDT mungkin boleh sekiranya kita mengawal permainan dan mereka kurang letih.

"Apabila kita harus mengejar dan bermain dengan pasukan baik, kita harus lebih berdisiplin dan ini menyebabkan mereka keletihan," kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:42 PM