INSIDEN kekasaran dilakukan Sane yang menyebabkan pemain Jerman itu dilayangkan kad merah di Stadium Ernst Happel, Vienna. FOTO Reuters
INSIDEN kekasaran dilakukan Sane yang menyebabkan pemain Jerman itu dilayangkan kad merah di Stadium Ernst Happel, Vienna. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan pasukannya perlu bekerja keras dalam tempoh enam bulan sebelum menjadi tuan rumah Euro 2024 selepas mereka tewas 2-0 dalam aksi persahabatan menentang Austria di Veinna, awal pagi tadi.

Jerman ketinggalan menerusi jaringan Marcel Sabitzer pada babak pertama dan mereka kehilangan Leroy Sane pada awal separuh masa kedua susulan kad merah apabila pemain sayap Bayern Munich itu mengasari pertahanan tuan rumah Phillipp Mwene.

Christoph Baumgartner kemudiannya menjaringkan gol kedua Austria ketika skuad Nagelsmann bergelut untuk bangkit dengan 10 pemain.

"Kami tidak bermain dengan bebas. Tugas berat menanti kami dalam setiap posisi," kata Nagelsmann kepada stesen penyiar Jerman, ZDF.

"Kami perlu terima situasi ini tetapi kami tidak boleh terus berada di dalamnya."

Nagelsmann berkata pasukannya tampak meyakinkan ketika sesi latihan tetapi gagal menterjemahkannya ketika perlawanan.

"Kami kehilangan keyakinan diri yang tidak mengejutkan apabila anda melihat beberapa bulan lalu."

Jerman kini hanya menang tiga daripada 11 perlawanan sejak juara empat kali Piala Dunia itu tersingkir daripada peringkat kumpulan di Qatar tahun lalu.

Namun Mats Hummels, antara pemenang Piala Dunia 2014 yang masih kekal dalam skuad Jerman tetap yakin pasukannya mampu bangkit sebelum Euro bermula pada Jun tahun depan.

"Ia mengambil masa. Ada beberapa bulan lagi untuk kami bangkit pamer kemampuan sebenar di tempat sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 8:13 AM