KENYATAAN TMJ di FB Johor Southern Tigers.
KENYATAAN TMJ di FB Johor Southern Tigers.

Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempertikaikan keputusan Malaysian Football League (MFL) meringankan hukuman ke atas Selangor FC selepas mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Ringkasan Berita

  • TMJ mempertikaikan keputusan MFL meringankan hukuman ke atas Selangor FC selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka
  • TMJ khuatir tindakan ini akan menjadi ikutan bagi pasukan lain yang bermasalah
  • TMJ menyatakan JDT pernah menerima hukuman berat tanpa campur tangan Sultan Johor
  • Menurut Tunku Mahkota Ismail, tindakan 'mengheret' Sultan ke dalam permasalahan bola sepak dilihat bakal menimbulkan kebimbangan dan menjadi ikutan oleh pasukan bermasalah bagi menyelesaikan isu dihadapi mereka dengan jalan mudah.

    "Selepas ini yang mana kelab tidak membayar gaji, tarik diri sesuka hati, melanggar undang-undang liga, suruh Sultan tulis surat murka sahaja senang.

    "Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluarkan surat. Selepas ni Tuanku Sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tidak boleh?," tulis Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) di akaun Facebook.

    Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.

    Dalam titah kenyataan, baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta penerima darjah kebesaran Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.

    Baginda yang juga Penaung FAS turut menzahirkan pandangan bahawa hukuman dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan sudah pun diberikan kepada pasukan lawan.

    "JDT daripada 2013 kena denda beratus ribu, saya kena 'banned' 6 bulan, tidak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan. Siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat 'U-Turn' tanpa surat rayuan. Yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang.

    "Tuan-tuan dan puan-puan, saya persembahkan kepada anda Tokong sebenar bola sepak Malaysia," tulis Tunku Mahkota Ismail.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 11:40 AM