Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Orang ramai menyambut baik kemenangan tanpa bertanding Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tunku Ismail secara automatik memenangi jawatan itu selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa umum menarik diri daripada bertanding pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Peminat bola sepak tempatan, Amrani Amir, 39, berkata, TMJ sememangnya calon yang layak dan disebut-sebut untuk menggalas jawatan itu.

“Bagi saya ia bukan satu kejutan kerana memang ramai yang menjangkakan kerusi panas Presiden FAM bakal diduduki TMJ. Lihat saja perubahan yang dibawa oleh baginda selama mengemudi Johor Darul Takzim (JDT).

“Diharapkan TMJ boleh membuat satu pembaharuan yang memang dinantikan seluruh rakyat Malaysia terhadap FAM di mana seperti kita sedia maklum, bola sepak adalah sukan kegemaran rakyat Malaysia,” katanya yang bertugas sebagai ketua jabatan bahagian pengiklanan syarikat swasta.

Sementara itu, Eksekutif Kewangan, Zainal Azim Zainal Ratin, 24, berkata, pengalaman yang dimiliki TMJ sepanjang menerajui JDT diharap mampu membawa pasukan bola sepak kebangsaan ke persada antarabangsa.

“TMJ sudah buktikan ketika mengemudi JDT sejak 2010 dengan pelbagai pencapaian. Jadi pada saya kemampuannya tidak boleh disangkal lagi. Saya mengharapkan dengan pengalaman membawa JDT memenangi banyak kejohanan, baginda juga mampu lakukannya untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Penuntut kolej swasta yang mengakui meminati TMJ sejak dulu lagi, Mohd Asrul Suherman, 20, berkata, dia sememangnya mengharapkan baginda yang akan menerajui tampuk FAM.

“Saya suka TMJ sebagai Presiden FAM kerana TMJ adalah calon yang lebih baik berbanding Tan Sri Annuar. Baginda mempunyai semangat juang yang tinggi, tengok sajalah pasukan JDT yang namanya semakin dikenali di pentas dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 4:42 PM