Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Episod pemberian bantuan kepada pasukan lain memasuki babak seterusnya apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa pernah membantu skuad Selangor ketika zaman kegemilangan mereka beberapa tahun lalu.

Perkara itu disahkan Tunku Ismail menerusi Twitternya yang memaklumkan bahawa bantuan yang diberikan kepada Gergasi Merah Kuning pada zaman kepimpinan Datuk Seri Subahan Kamal dari 2017 hingga 2018.

"Saya memberi bantuan pada masa Dato Subahan dulu. Zaman Selangor masih hebat dan 'Champion'.

"Sekarang ini semenjak Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) ambil alih dengan expert2 (pakar) bola sepak tanah air dan terima banyak bantuan duit daripada kerajaan maka mereka tak perlu bantuan. Syabas saya ucapkan," katanya menerusi laman twitter HRH Crown Prince of Johor.

Kenyataan dimuat naik TMJ di media sosial
Kenyataan dimuat naik TMJ di media sosial

Terdahulu Arena Metro melaporkan, Tunku Ismail sudah membantu sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia yang berdepan isu tunggakan gaji.

Malah, paling mengejutkan bahawa antara pasukan terbabit adalah juara 33 Piala Malaysia iaitu Selangor apabila Tunku Ismail pernah mengeluarkan duit poket sendiri membantu pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menjelaskan, selain Selangor, turut mendapatkan bantuan daripada beliau adalah pasukan Pantai Timur, Kelantan, Penang FC, Melaka United dan terbaharu adalah Perak.

Namun, Kelab bola sepak Selangor mahupun Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 2018 tidak pernah menerima bantuan kewangan daripada kelab lain untuk menguruskan pasukan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pihaknya tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada pesaing dalam saingan Liga Malaysia sejak empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 3:02 PM