DI Maria (kiri) cuba melepasi pertahanan Ecuador, Piero Hincapie pada perlawanan persahabatan antarabangsa, pagi tadi. FOTO AFP
DI Maria (kiri) cuba melepasi pertahanan Ecuador, Piero Hincapie pada perlawanan persahabatan antarabangsa, pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Chicago: Jaringan Angel Di Maria memastikan Argentina menang 1-0 ke atas Ecuador pada perlawanan pemanas badan menjelang Copa America, pagi tadi.

Di Maria yang akan bersara daripada aksi antarabangsa selepas kempen Copa America meletakkan Argentina di depan lima minit sebelum rehat hasil umpanan Cristian Romero.

Bagaimanapun, mereka tidak mampu menambah jaringan pada babak kedua.

"Ia adalah kemenangan yang sepatutnya apabila kami terus berusaha seperti biasa dan kekal bekerjasama," kata Di Maria selepas perlawanan.

"Ecuador adalah lawan yang mungkin berdepan kami di Copa. Kami tahu ia bakal menjadi kejohanan sangat sukar. Perlawanan hari ini bagus untuk menilai apa yang kami mampu lakukan."

Argentina akan berdepan Guatemala dalam satu lagi perlawanan persahabatan pada Jumaat ini sebelum juara bertahan itu membuka kempen Copa America menentang Kanada pada 20 Jun.

Mereka berdepan Chile, lima hari kemudian dan Peru pada 29 Jun.

Ecuador pula akan berdepan Bolivia pada Rabu dan Honduras pada Ahad sebagai persediaan menjelang Copa America.

Mereka akan berdepan Venezuela pada 22 Jun diikuti Jamaica, empat hari kemudian dan Mexico pada 30 Jun.

Kejohanan Copa America akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) bermula 21 Jun hingga 14 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 11:57 AM