CONCEICAO (kanan) melakukan rembatan kemenangan Portugal ke atas Czech.
CONCEICAO (kanan) melakukan rembatan kemenangan Portugal ke atas Czech.
AFP

Leipzig: Pengurus baharu Fenerbahce Jose Mourinho pernah mendakwa Portugal mampu menjuarai Euro 2024 walaupun hanya menurunkan skuad simpanannya.

Ini dibuktikan ketika pasukan itu menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi pertama kedua-dua pasukan, awal pagi semalam.

Dua pemain gantian bergabung untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 apabila Francisco Conceicao menjaringkan gol antarabangsa pertamanya selepas mendapat hantaran Pedro Neto.

Seorang lagi pemain yang dimasukkan jurulatih Roberto Martinez juga berjaya mendapatkan gol tetapi tandukan Diogo Jota dibatalkan kerana Cristiano Ronaldo ofsaid terlebih dahulu.

Portugal mengikut jejak langkah England dan Perancis apabila ketiga-tiga pasukan pilihan kejohanan meraih kemenangan dengan cara kurang meyakinkan.

Seperti biasa, Ronaldo turut menjadi tumpuan tetapi diakhiri dengan kekecewaan. Dia perlu menunggu untuk menambah rekod menjadi penjaring tertua dalam Kejohanan Eropah.

Keputusan Martinez untuk terus mengekalkan pemain berusia 39 tahun itu sebagai penyerang utama mungkin akan dipertimbang dengan lebih teliti selepas ini.

Ronaldo digugurkan untuk dua perlawanan terakhir Portugal di Piala Dunia 2022 dan digantikan oleh Goncalo Ramos.

Penyerang Paris Saint-Germain, Ramos kali ini tidak terpilih ke Jerman bersama Joao Felix dari Barcelona sekali gus menekankan kekayaan bakat menyerang yang dimiliki Martinez.

"Kami negara dengan 10 juta penduduk tetapi kami mempunyai sejumlah besar pemain dalam lima liga utama Eropah.

"Itu adalah kekuatan dan kelemahan. Jika anda tidak menggunakannya dengan baik, ia boleh menjadi 26 individu yang cuba menunjukkan kehebatan masing-masing," kata Martinez sekali gus amaran kepada Turkiye yang akan mereka temui pada aksi kedua peringkat kumpulan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 11:58 AM