FALIQ Firdaus ketika ditemui di Paroi, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
FALIQ Firdaus ketika ditemui di Paroi, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan melakukan bedah siasat terperinci terhadap pasukan Liga Super Negeri Sembilan susulan prestasi buruk dalam empat perlawanan termasuk satu daripadanya dalam saingan Piala FA, musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, bedah siasat itu penting untuk mengenal pasti masalah yang berlaku dalam pasukan berkenaan selepas menyaksikan persembahan kurang bermaya dipamerkan dalam Liga Super dan Piala FA.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kesepaduan dalam kalangan pemain tidak begitu memuaskan yang dilihat antara faktor menyumbang kepada persembahan 'yo yo' terutama dalam tiga perlawanan menentang Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

"Setakat ini kita lihat kesepaduan dalam pasukan kurang memuaskan. Apabila ada pemain yang memberi pendapatnya sendiri, membuatkan perancangan jurulatih terjejas.

"Kita sedar pemain import yang kita ambil datang dari pelbagai latarbelakang yang berbeza dan sepatutnya mereka mematuhi setiap perancangan dan arahan yang dibuat jurulatih, namun perkara itu tidak berlaku. Ia perlu diperbaiki.

"Saya lihat ini isu utama yang memberi impak kepada kualiti persembahan pasukan.

"Kita akan melakukan bedah siasat segera bagi menyelesaikan masalah ini kerana setiap pemain perlu mengikut kehendak jurulatih.

"Namun begitu, kita akan terus beri kepercayaan kepada ketua jurulatih, Azzmi Ab Aziz untuk mengubah nasib pasukan dalam perlawanan akan datang," katanya ketika ditemui di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, hari ini.

Menurut Faliq, walaupun adat permainan itu ada menang atau kalah, namun pihaknya tidak menjangka jumlah bolos yang diterima pasukan Negeri Sembilan adalah tinggi iaitu 14 gol.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Negeri Sembilan belum mahu menekan butang panik meskipun belum meraih sebarang mata selepas tiga aksi liga.

Katanya, setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk merehatkan Azzmi dan dalam masa sama sedang menyusun beberapa tindakan yang akan dilaksanakan bagi mengubah kedudukan dan memantapkan pasukan termasuk ketika sesi perpindahan kedua akan datang.

"Beberapa penambahbaikan dalam pasukan sudah ada dalam perancangan kelab terutama membabitkan kedudukan pemain import," katanya yang turut menafikan terdapat masalah gaji dalam skuad Hobin Jang Hobin.

Negeri Sembilan memulakan aksi Liga Super musim ini dengan keputusan tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-3 dalam aksi di tempat lawan disusuli tunduk kepada Selangor, 0-4 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kalah kepada KL City, 0-3, di tempat sendiri.

Pasukan itu juga tewas 0-4 kepada Selangor dalam saingan Piala FA di Stadium MBPJ.

Setakat ini, Negeri Sembilan satu-satunya pasukan dalam saingan liga utama tempatan itu yang belum meraih sebarang mata hingga mencetuskan rasa tidak puas penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:18 PM