SEBAHAGIAN aksi Negeri Sembilan FC dengan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada 26 Mei lalu. FOTO IHSAN NSFC
SEBAHAGIAN aksi Negeri Sembilan FC dengan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ pada 26 Mei lalu. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Selangor FC dalam saingan Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) kini memberi fokus kepada usaha meningkatkan lagi kekuatan pasukan menjelang pertembungan dengan Selangor pada aksi Piala FA, 15 Jun ini.

Pertembungan di gelanggang lawan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu pastinya memberikan cabaran getir buat skuad Hobin Jang Hobin selepas mereka tewas 0-4 kepada Selangor di gelanggang sama, 26 Mei lalu.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz, akui betapa beliau dan pemain pasukannya perlu membuat persiapan lebih rapi dalam memastikan persembahan lebih bertenaga dapat dipamerkan pada pertembungan itu sekali gus meraih keputusan yang positif.

Menurutnya, tumpuan utama adalah dari aspek memperbaiki segala kelemahan dan dalam masa sama memantapkan lagi setiap bahagian terutama serangan, dalam memastikan setiap peluang jaringan tidak disia-siakan.

"Melihat kepada persembahan pasukan pada perlawanan Liga Super tempohari, kita dapat lihat terdapat kelompangan di setiap bahagian, jadi semua orang (pemain) kena bangkit dan memberikan persembahan lebih terpuji pada pertembungan kali kedua dengan Selangor itu nanti.

"Kita sedar kualiti pemain yang ada berbanding Selangor, namun itu bukan alasan dan kita berusaha memanfaatkan sebaik mungkin kekuatan yang ada untuk berhadapan dengan setiap cabaran sama ada dalam liga mahupun Piala FA ini," kata Azzmi, hari ini.

Pengendali berusia 49 tahun itu juga sedar dengan cabaran yang bakal dihadapi anak buahnya itu nanti ketika skuad 'The Red Giants', berkenaan baharu saja menikmat kejayaan selepas muncul juara dalam pertandingan RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia hasil kemenangan 1-0 ke atas Persija Jakarta.

"Pemain Selangor sudah tentu berada dalam keadaan motivasi yang tinggi selepas mereka muncul juara dalam satu kejohanan di Indonesia, mereka ada perlawanan yang kompetetif ketika rehat ini dan ini sudah memberi peluang yang terbaik kepada mereka.

"Jadi, Negeri Sembilan perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan lagi kualiti persembahan bagi memastikan kita dapat berikan saingan terbaik kepada Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 12:57 PM