SESI latihan PDRM FC menjelang pertemuan dengan NSFC. -FOTO The Cops.
SESI latihan PDRM FC menjelang pertemuan dengan NSFC. -FOTO The Cops.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun sedikit tempang selepas 'kereta kebalnya', James Okwuosa tidak dapat diturunkan kerana digantung satu perlawanan susulan menerima kad merah ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sebelum ini, ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Ab Aziz tidak begitu bimbang untuk berdepan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Jelas jurulatih berusia 47 tahun itu, beberapa pemain boleh mengambil alih tugas yang ditinggalkan pertahanan tengah kelahiran Nigeria itu bagi mengelak pintu gol dibolosi rangkaian penyerang skuad Hobin Jang Hobin itu.

Bagaimanapun Azzmi berkata, beliau belum lagi membuat keputusan muktamad siapa yang bakal diturunkan kerana masih lagi menguji keserasian dengan rakan seposisi selain mahu pemain yang benar-benar cergas terutama selepas rehat selama tiga minggu sebelum ini.

"Sejujurnya ketiadaan Okwuosa sudah pasti sedikit dirasai lebih-lebih pemain tinggi lampai itu beraksi dengan baik dalam semua perlawanan setakat ini selain dia juga mampu menjaringkan gol dalam situasi 'set piece'.

"Bagaimanapun saya sudah mencuba empat pemain ketika sesi latihan dalam tempoh tiga minggu termasuk pemain import kelahiran Myanmar, Kyaw Min Oo, Mohd Azmi Muslim, Izaaq Izhan Yuswardi dan Muhammad Alif Najmi Shaaini.

"Pemain berkenaan dilihat calon sesuai dan mampu menggantikan tempat Okwuosa, sebab itu saya tidak begitu bimbang, lagipun mereka sudah buktikan dalam perlawanan sebelum ini, tapi setakat ini saya belum putuskan lagi siapa bakal memikul tugasan penting itu," kata Azzmi ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Azzmi meletakkan harapan yang tinggi agar rekod empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super dapat dihentikan bagi memastikan pasukan tidak keciciran mata lagi.

"Kita tidak boleh tewas lagi, selepas sepuluh perlawanan, kita sudah tewas sebanyak enam kali dan seri sekali menyebabkan kita kehilangan banyak mata kerana baharu mengumpul 10 mata setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 12:32 PM