MIKA Junco, pemain import keenam Negeri Sembilan. FOTO FB MIKA JUNCO
MIKA Junco, pemain import keenam Negeri Sembilan. FOTO FB MIKA JUNCO
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) melengkapkan senarai enam pemain import yang disasarkan bagi mengharungi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025, apabila membawa masuk Miguel Angel Junco Martinez.

Junco Martinez yang juga dipanggil Mika Junco, 31, adalah pemain kelahiran Sepanyol dan pernah beraksi di liga beberapa negara termasuk yang terkini dalam liga Finland iaitu bersama KTP FC.

Sebelum itu, pemain yang beraksi di posisi serangan ini juga pernah beraksi di liga Kemboja.

Ketika bersama KTP selama dua tahun sejak 2022, Mika Junco membuat 35 penampilan dengan meledak 21 jaringan.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz mengesahkan mengenai kehadiran Junco dalam skuad Hobin Jang Hobin dalam menghadapi saingan musim ini, yang bakal membuka tirainya kira-kira dua minggu lagi.

"Mika Junco baharu bersama kita kelmarin, pemain import baharu ini berasal dari Sepanyol dan sebelum ini dia beraksi bersama liga Finland.

"Kelab membuat keputusan mendapatkan khidmat Mika Junco yang mempunyai ketinggian 1.75 meter serta berpengalaman beraksi dengan banyak kelab di beberapa negara," kata Azzmi hari ini.

Sebelum ini, Negeri Sembilan sudah mengikat lima pemain import iaitu Hein Ttet Aung, 22, dari Myanmar yang dipinjamkan daripada pasukan Selangor FC.

Selain itu, empat pemain import lagi masing-masing dari Jepun, Takumi Sasaki, 25, Aliyu Abubakar, 27, (Nigeria), Jacque Faye, 29, (Senegal) dan An Sang-Su, 24, dari Korea Selatan.

Negeri Sembilan pasti memerlukan kehadiran pemain seperti Mika Junco bagi memantapkan bahagian serangan selepas penghijrahan Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi, yang meledak enam gol musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:09 PM