SANG-su bakal tersenarai untuk aksi petang esok. FOTO NSFC
SANG-su bakal tersenarai untuk aksi petang esok. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas dikecewakan Selangor FC dalam pertembungan pertama saingan Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak rela menerima nasib serupa apabila sekali lagi menentang pasukan itu pada aksi pertama Piala FA, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang esok.

Sebelum ini, skuad Hobin Jang Hobin tewas kepada Selangor, 0-4 dalam aksi Liga Super yang dikuasai sepenuhnya tuan rumah di gelanggang sama.

Kini, pasukan bimbingan Azzmi Ab Aziz itu bertekad untuk mempamerkan persembahan lebih baik dalam usaha mereka mendapatkan keputusan positif biarpun berdepan cabaran getir kerana beraksi di tempat lawan.

"Selepas mengalami kekalahan dalam perlawanan pertama dengan Selangor tempohari, kita sudah membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi pertembungan Piala FA, petang esok.

"Kami sedar cabaran itu nanti bukan mudah kerana jurang kualiti sesebuah pasukan dengan Selangor memiliki pakej lebih baik, namun kami akan berusaha untuk meningkatkan kualiti persembahan dan memberikan tentangan yang baik.

"Segala kelemahan yang ada dalam pasukan sebelum ini juga sudah cuba diperbaiki dan pemain juga sedar akan tugas serta tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan jika mahu melepasi halangan saingan kalah mati ini," kata Azzmi, hari ini.

Azzmi akui lega dengan persiapan dilakukan itu kerana tiada dalam kalangan pemain utama menghadapi masalah kecederaan atau kurang cergas dan mereka boleh diturunkan pada pertembungan itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 6:38 PM