YUSRI mengharapkan barisan pemain utama cergas sepenuhnya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
YUSRI mengharapkan barisan pemain utama cergas sepenuhnya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Perak FC Yusri Che Lah berharap dapat menurunkan kesebelasan terbaik apabila turun beraksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada perlawanan kedua pusingan 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.

Yusri berkata, walaupun turun ke gelanggang lawan dengan kelebihan agregat 3-1 namun beliau tetap berhati-hati terhadap kebangkitan tuan rumah yang sudah pastinya mahu mencari kelebihan gol besar dalam usaha menempatkan diri ke pusingan seterusnya.

Katanya, tiga pemain utama sebelum ini berehat akibat kecederaan diharapkan boleh beraksi esok dalam usaha memastikan skuad Bos Gaurus mampu mencipta keputusan positif di Stadium Darul Aman.

"Saya mengharapkan barisan pemain utama cergas sepenuhnya sekali gus mampu bertahan untuk memastikan Perak mampu melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.

"Sudah pastinya tumpuan diberikan apabila bertandang ke Stadium Darul Aman dengan beberapa tonggak utama antaranya Seo Seonung diharap sempat pulih untuk beraksi pada perlawanan itu.

"Pada aksi esok, saya melihat tentangan sengit akan diberikan tuan rumah sekali gus barisan pemain perlu bekerja lebih kuat dan bersedia segala ancaman daripada KDA FC," katanya.

Mengikut rekod, 'The Bos Gaurus' ketika ini sedang berada pada prestasi terbaik mereka khususnya dalam lima aksi terakhir.

Mereka menang tiga aksi terakhir dalam semua pertandingan yang diharungi dan hanya tewas tipis 1-0 di tangan Sri Pahang FC (SPFC) manakala tumpas 5-0 pada perlawanan terakhir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Prestasi memberangsangkan itu membolehkan mereka menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mengutip 16 mata.

Pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Piala Malaysia menyaksikan Perak FC melakukan kejutan dengan menumpaskan KDA FC 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:26 PM