KETUA Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain Ketika sesi Latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah baru-baru ini. -FOTO Ihsan KDA FC
KETUA Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain Ketika sesi Latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah baru-baru ini. -FOTO Ihsan KDA FC
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pengendali Kedah FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan bekalan tiga mata pertama hasil kejayaan membenam Penang FC (PFC) dengan keputusan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya malam tadi amat bermakna buat pasukannya.

Jurulatih berusia 45 tahun itu turut melihat pertembungan antara negeri tetangga utara itu bukan suatu perkara mudah dengan PFC bukan sahaja menampilkan corak permainan yang bagus malah memberi ancaman sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

"Alhamdulillah saya rasa kegembiraan pemain sekarang ini yang penting tiga mata dapat mengubati semua permasalahan, kedukaan sebab apabila sekali kita tewas, daripada segi moral akan 'down' (kecewa).

"Kemenangan ini begitu bermakna kita tahu dalam carta kutipan mata kita masih kosong jadi tiga mata itu membuka peluang untuk kita bersaing dengan (kedudukan) lebih baik sepanjang empat perlawanan ini.

"Kita ada banyak perlawanan lagi minggu ini dan keputusan itu memberi 'booster' untuk kita menghadapi perlawanan seterusnya termasuk pertemuan dengan Penang minggu depan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Sebagai rekod, tiga mata awal yang diperoleh KDA FC selepas melakar kemenangan ke atas PDRM FC sebelum ini telah dipotong akibat masalah tunggakan gaji pada musim lalu.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya, Nafuzi berkata masih banyak kelemahan perlu diperbaiki terutamanya dalam aspek penyudah tumpul pada masa sama memperkemas benteng pertahanan untuk meraih keputusan akhir seperti diharapkan.

Nafuzi ketika diminta mengulas prestasi penyerang utama, Milos Gordic berkata, pemain asal Serbia itu dan penyerang gantian, Ebenezer Assifuah masing-masing mempunyai kelebihan dan kualiti tersendiri dan akan ditempatkan sesuai taktikal dan strategi permainan dalam satu-satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:00 PM