AKMAL Rizal sewaktu mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya, baru-baru ini. FOTO PENANG FC
AKMAL Rizal sewaktu mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya, baru-baru ini. FOTO PENANG FC
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Skuad Penang FC (PFC) setakat ini menerima kehadiran tujuh 'calon' pemain import Korea Selatan yang mencuba nasib untuk menyertai pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M), Mei depan.

Pengendalinya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menambah pemain import termasuk mempertimbangkan pemain berpotensi dari negara berkenaan untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah.

"Sekarang cuma tinggal dua pemain Korea Selatan yang sedang menjalani (latihan) percubaan bersama pasukan dan saya lihat mereka ada potensi baik berbanding yang datang sebelum ini.

"Sebenarnya tujuh pemain Korea datang dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

"Kita masih ingin melihat bagaimana mereka dapat bermain dalam perlawanan kompetitif dengan pasukan dari Liga Super sebab semasa berlatih memang kita tengok bagus, tetapi mungkin bila jumpa pasukan kuat, dia jadi tak bagus," katanya.

Akmal Rizal berkata, berikutan itu beliau berhasrat menurunkan dua pemain berkenaan pada aksi persahabatan pertama bertemu Perak yang buat julung kali turut bakal menguji sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di Stadium Perak, malam esok.

Menurutnya keputusan lanjut sama ada pasukan akan menandatangani kontrak dengan pemain berkenaan atau tidak hanya boleh dilakukan selepas perlawanan itu.

"Selepas perlawanan kita tengok mereka sesuai atau tidak berada dalam pasukan. Kita perlu berbincang dengan ejen mereka soal gaji dan sebagainya. Kalau semua OK, kita boleh ambil.

"Memang kita masih mencari (pemain import) berdasarkan kemampuan kewangan pasukan. Saya rasa tak kisah dari negara mana kalau sesuai dengan pelan taktikal dan serasi dengan pasukan, kita akan ambil," katanya.

Ketika ini, skuad Harimau Kumbang mempunyai tiga import termasuk dua daripadanya menyertai pasukan bulan lalu iaitu penyerang dari Brazil, Rodrigo Dias dan pemain pertahanan, Richmond Ankrah yang dipinjamkan dari Selangor FC selama semusim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 6:36 PM