DOMINIQUE Da Sylva (kanan) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika menentang UITM FC semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DOMINIQUE Da Sylva (kanan) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan ketika menentang UITM FC semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak mengakui jadual perlawanan Liga Super yang terlalu padat selain tempoh persediaan singkat mempengaruhi prestasi dan persembahan anak buahnya dalam dua pertemuan sebelum ini.

Walaupun mencatatkan kemenangan 1-0 menewaskan UiTM semalam, beliau mengakui anak buahnya tidak bermain pada tahap sebenar sekali gus mahu mereka meningkatkan lagi persembahan pada perlawanan bertemu Selangor, Sabtu ini.

"Namun, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain muda terutamanya Izreen yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh perlawanan.

"Jika diikutkan, pada babak pertama perlawanan, kita bermain dengan baik terutama pada 15 minit awal namun separuh masa kedua kurang berpuas hati kerana gagal manfaat peluang yang ada.

"Oleh itu, pasukan perlu memperbaiki lagi corak permainan terutama penyudah yang dilihat agak tumpul," katanya, di sini.

Sementara itu, pengendali UiTM Frank Bernhardt pula mengakui seharusnya membawa pulang sekurangnya satu mata namun kegagalan manfaat peluang terhidang sekali gus gagal meraih sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

"Banyak perkara yang perlu dilihat dan diperbaiki kerana ketika ini banyak gerakan serangan dilakukan oleh anak buah namun gagal mencipta sebarang gol.

"Kami berharap dapat perbaiki kelemahan seterusnya mencatat kemenangan selepas tewas pada dua aksi," katanya.

Penyerang import KL City FC Dominique Da Silva menyumbat masuk gol tunggal perlawanan pada minit 14 sekali gus memastikan tiga mata penting milik pasukan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:24 PM