TORRES  (kiri) menjaringkan gol kemenangan Sepanyol. FOTO AFP
TORRES (kiri) menjaringkan gol kemenangan Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Düsseldorf, Jerman: Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente menggesa pasukannya supaya tidak berpuas hati selepas melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan rekod sempurna dan tanpa bolos.

Sepanyol menurunkan skuad kedua ketika menewaskan Albania 1-0 di Dusseldorf awal pagi tadi selepas memulakan kejohanan dengan mengatasi Croatia 3-0 dan menewaskan Itali 1-0.

Keputusan itu bermakna juara tiga kali Eropah kini pilihan utama untuk mara lebih jauh dan memenangi gelaran sekali lagi.

"Tak perlu kos untuk meneruskan impian tetapi kami tak boleh mendabik dada," kata De la Fuente selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pemain Barcelona Ferran Torres menjaringkan gol tunggal pada minit ke-13.

"Semua perlawanan sukar tetapi kami sekali lagi tidak dibolosi dan meraih sembilan mata. Kami perlu kekal tenang tetapi sudah tentu kami memasang impian sejak hari pertama kejohanan."

Pencapaian Sepanyol di peringkat kumpulan menyamai Itali di Euro terakhir tiga tahun lalu apabila mereka juga mengumpul tiga mata dan tanpa bolos pada pusingan pertama. Itali kemudiannya muncul juara kejohanan.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki kerana kami ada pemain yang boleh menampilkan prestasi cemerlang," kata De la Fuente.

"Kami tidak akan mudah berpuas hati. Pemain ini sangat bermotivasi dan kami boleh perbaiki banyak aspek."

Sepanyol akan beraksi di peringkat 16 terakhir di Cologne pada Ahad tetapi perlu menunggu untuk mengetahui lawan mereka yang menduduki tangga ketiga terbaik daripada peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:27 AM