RUIZ  meraikan jaringan ketika menentang Croatia.
RUIZ meraikan jaringan ketika menentang Croatia.
AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Sepanyol sekali lagi mempertaruhkan kecemerlangan Fabian Ruiz bagi mengekalkan momentum kemenangan ketika menentang Itali dalam aksi kedua mereka di Euro 2024.

Pertemuan antara juara Eropah dan pemenang tiga kali kejohanan di Gelsenkirchen pada awal pagi Jumaat ini adalah perlawanan tumpuan pada saingan pembukaan kejohanan.

Tempat teratas dalam Kumpulan B, dan undian pusingan 16 yang secara teorinya lebih mudah menjadi pertaruhan ketika kedua-dua pasukan berusaha memburu kemenangan.

Itali bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan Albania, sementara Ruiz cemerlang ketika Sepanyol menewaskan pasukan yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia 2022, Croatia, 3-0.

Pemain tengah Paris Saint-Germain, Ruiz, 28, mencipta gol pembukaan untuk Alvaro Morata dan kemudiannya menembusi gawang lawan dengan penyudah bergaya ketika dia mengatasi semua pemain sekelilingnya termasuk kapten Croatia Luka Modric.

Perlawanan itu mengesahkan kepentingan Ruiz kepada pasukan Sepanyol kendalian Luis de la Fuente, yang tidak dibawa ke Piala Dunia lalu oleh bekas jurulatih Luis Enrique.

"Apa yang boleh saya katakan tentang Fabian Ruiz adalah dia pemain luar biasa dan dia berada di tahap tertinggi.

"Berdasarkan apa yang kita lihat daripadanya setiap hari, dia hebat dan mempunyai teknik cemerlang, kami tahu apa yang dia bawa kepada pasukan.

"Kita harus mengiktiraf kualiti yang dia miliki. Dia mempunyai imaginasi yang sebenar," kata De la Fuente.

Hubungan De la Fuente dengan Ruiz bermula sejak beliau menjadi jurulatih pasukan bawah 21 tahun Sepanyol dan Ruiz adalah bintang ketika mereka memenangi Kejohanan Bawah 21 tahun pada 2019.

Pada masa itu, bekas pemain Betis itu mula memasuki skuad penuh Sepanyol dan dia turut serta dalam pasukan Luis Enrique di Euro ketika mereka tersingkir kepada Itali di separuh akhir.

Namun, dia bukan pemain utama dan Luis Enrique tidak memilihnya menyebabkan dia terpinggir ketika Piala Dunia 2022 berlangsung.

Tetapi, penyingkiran Sepanyol di pusingan 16 menentang Maghribi menyebabkan Luis Enrique berundur dan De la Fuente mengambil alih dan jurulatih baru dengan pantas memanggil semula Ruiz.

"Saya sudah bersamanya sejak dia sangat muda dan perjalanan kariernya di peringkat kelab dan antarabangsa adalah luar biasa.

"Dia contoh pemain yang bekerja keras di belakang tabir dan mungkin media tidak memberi tumpuan padanya," kata De la Fuente.

Memang benar Rodri, yang dianggap sebagai pemain tengah bertahan terbaik dunia, mendapat lebih perhatian dalam pasukan Sepanyol.

Tetapi Ruiz adalah pemain berbakat luar biasa dalam masa kemuncaknya, dan menjadi bahagian penting dalam pasukan berbanding di bawah Luis Enrique.

Menurutnya, Ruiz cemerlang musim ini di bawah Luis Enrique, yang kini menjadi jurulatihnya di Paris Saint-Germain (PSG).

Dia menyertai PSG dari Napoli pada 2022 tetapi hanya benar-benar serasi di Perancis sejak rakan senegaranya menjadi jurulatih tahun lepas.

Ruiz mengakhiri musim di PSG dengan menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Perancis menentang Lyon.

Dia sekali lagi menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan terakhir Sepanyol sebelum Euro menentang Ireland Utara dan turut sekali lagi membolosi gawang Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 1:07 PM