REAKSI Kim Swee pada perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
REAKSI Kim Swee pada perlawanan malam tadi. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya gagal menyempurnakan banyak peluang untuk mengatasi Perak FC dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.

Sebaliknya, beliau berkata Perak berjaya melaksanakan pelan permainan mereka dengan sekurang-kurangnya melakar gol penyamaan untuk dibawa balik sebagai sandaran berdepan perlawanan kedua.

Bagaimanapun, katanya Sabah FC mempunyai satu lagi peluang untuk memenangi perlawanan suku akhir Piala Malaysia musim ini menerusi aksi timbal balik di Ipoh nanti.

"Kita mencipta banyak peluang tapi tidak dapat disempurnakan dan kita tahu pasukan Perak datang dengan 'game plan' untuk membawa balik sekurang-kurangnya satu mata dan mereka berjaya.

"Namun kita masih lagi ada satu perlawanan timbal balik di Ipoh di mana di situ saya percaya permainan yang berbeza," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah dan Perak terikat dengan kedudukan agregat 2-2, sekali gus menyebabkan Sabah gagal mendapatkan bekalan selesa untuk berdepan perlawanan kedua nanti.

Perak berjaya menyamakan kedudukan menerusi Luciano Guaycochea pada minit ke-10 dan Wan Zack Haikal pada minit ke-54 selepas Sabah mendahului pada minit keempat menerusi Darren Lok dan Ramon Machado pada minit ke-45.

Sementara itu, Kim Swee menolak kemungkinan keputusan malam tadi mengganggu momentum pasukannya dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bermula 21 September ini.

Sabah FC bakal bertemu Hougang United dari Singapura dalam perlawanan pertama Piala AFC di Stadium Likas, sebelum kembali ke aksi suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu Perak pada 25 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 11:32 AM