BARISAN pemain TFC memperkatakan sesuatu kepada pengadil. FOTO Terengganu Football Club
BARISAN pemain TFC memperkatakan sesuatu kepada pengadil. FOTO Terengganu Football Club
Firdaus Hashim


PEMILIK kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan pengadil yang mengadili aksi Liga Super antara Terengganu FC dan JDT yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam adalah 'teruk' dan gagal mengawal perlawanan.

Kritikan 'pedas' Tunku Ismail itu hadir selepas beberapa keputusan pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim boleh dipertikaikan terutama insiden membabitkan pemain skuad Penyu.

Dalam beberapa situasi, Tarmizi dilihat seolah berat sebelah dengan cenderung memihak pasukan pelawat.

Malah, ia turut diakui Tunku Ismail yang menganggap Terengganu FC seharusnya dihadiahkan dua sepakan penalti disamping pemain tuan rumah dilayangkan kad merah.

"Tahniah Terengganu. Masa depan yang cerah buat Terengganu FC. Sikap profesionalisme yang tinggi oleh kapten dan potensi yang tinggi oleh pemain muda. Bukan mudah untuk kami JDT.

"Referee (pengadil) teruk dan tidak mengawal game dengan baik. Sepatutnya satu atau dua penalti untuk Terengganu dan kad merah untuk penyerang Terengganu yang melakukan tackle yang tinggi.

"Apa pun, game sudah tamat. Tahniah kepada kedua-dua pasukan. Padang dan stadium first class (kelas pertama). Tahniah dan terima kasih," katanya diruangan komen Instagram officialterengganufc.

Dalam aksi itu, JDT melakar kemenangan 1-0 menerusi jaringan Safawi Rasid seawal minit kelima yang kekal hingga wisel penamat.

Hasil kejayaan tiga mata di tempat lawan itu, skuad Harimau Selatan kini semakin mengukuhkan kedudukan dipersada liga dan memiliki kelebihan besar untuk muncul sebagai juara musim ini seterusnya meraih slot automatik peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 3:14 PM