ANTARA reaksi Cheng Hoe pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
ANTARA reaksi Cheng Hoe pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe lebih selesa bergelar 'underdog' apabila pasukannya bakal berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, reputasi skuad Harimau Selatan selain aksi konsisten skuad kendalian Hector Bidoglio membuatkan dia 'tabik' walaupun dalam sukan nombor satu itu apa-apapun boleh berlaku.

Namun beliau tidak sesekali menyerah kalah sebelum 'bertempur', sebaliknya bakal membuat persiapan rapi dengan baki beberapa hari sahaja lagi untuk melakukan kejutan menjulang trofi paling berprestij dalam negara itu.

"Kita sedar JDT sudah banyak menang piala dan prestasi mereka cukup konsisten, jadi saya lebih selesa sebagai pasukan 'underdog'.

"Tapi saya masih menaruh harapan untuk merangkul trofi itu musim ini kerana dalam perlawanan akhir apa sahaja boleh terjadi, tapi yang penting setiap pemain perlu fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa alpa kerana JDT bukan calang-calang pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi yang berakhir dengan keputusan pasukannya tewas 1-0 hasil jaringan Kipre Tchetche.

Namun skuad juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu melangkah ke pentas final selepas menang dengan agregat 3-2 sesudah melakar kemenangan 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lalu.

Mengulas perlawanan itu, Cheng Hoe tanpa berselindung akui anak buahnya dilihat sedikit tertekan dengan asakan bertali arus skuad kendalian Nafuzi Zain itu lebih-lebih lagi beraksi di depan hampir 33,500 peminat setia lawan.

Namun katanya karakter yang diperagakan anak buahnya antara faktor skuadnya berjaya menafikan hajat skuad Penyu untuk melangkah ke final walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain di penghujung babak selepas pertahanan dilayangkan kad merah.

"Secara keseluruhan pemain berjaya menunjukkan aksi terbaik dan fantastik serta mentaliti yang tinggi terutama selepas pertahanan, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah.

"Mereka berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir perlawanan walaupun tertekan selepas lawan menjaringkan gol pada babak pertama.

"Jika perlawanan berlanjutan sehingga masa tambahan, saya merasakan pemain lebih tertekan lebih-lebih lagi beraksi dengan sepuluh pemain, tapi yang penting pemain dapat menahan asakan lawan, saya harap mereka dapat ulangi pada aksi final Piala Malaysia nanti," katanya yang akui ketiadaan Yazan sedikit sebanyak dirasai pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 12:29 PM