Faisal Halim ketika beraksi bersama Harimau Malaya. FOTO ASWADI ALIAS
Faisal Halim ketika beraksi bersama Harimau Malaya. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Shah Alam: Kontrak tonggak Selangor FC Faisal Halim terus menjadi menjadi tanda tanya dengan pengurusan Gergasi Merah masih lagi mengadakan perbincangan bagi mendapatkan persetujuan pemain terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ketika ini perbincangan bersama pemain terbabit berjalan lancar dan menunjukkan petanda positif akan kekal bersama skuad Gergasi Merah.

Beliau berkata, pengurusan Selangor FC sudah pastinya mahu 'pegang' Faisal atau mesra dipanggil Mickey dalam tempoh lama kerana pemain itu juga adalah aset penting dalam membantu pasukan meraih keputusan positif.

"Mickey masih pemain Selangor dan dia fokus serta komited untuk menghabiskan musim ini dengan baik. Sekarang ini, kita sedang berbincang dengan dia mengenai kontrak.

"Dalam kontrak dia ada beberapa klausa tertentu tetapi kami sedang berbincang. Ya (bincang untuk melanjutkan kontrak), Mickey adalah pemain penting buat Selangor.

"Sudah pasti kita mahu simpan pemain terbaik di Selangor. Kalau boleh nak simpan dia selama yang mungkin. Kami gembira dengan Mickey dan dia pun gembira dekat Selangor, jadi harap kita boleh lanjutkan.

"Saya tidak boleh nak sahkan (tempoh lanjutan kontrak) sekarang sebab masih dalam perbincangan. Tempoh kita tak tahu lagi, tetapi perbincangan itu positif dan sangat baik," katanya, selepas majlis menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan Citadel Group Technologies di sini, petang tadi.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengaitkan Mickey bakal berhijrah ke pasukan pada musim depan dan destinasinya adalah di kelab berpengkalan di Selatan tanah air.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Mickey yang baru menyertai Selangor dari Terengganu musim ini difahamkan ditawarkan kontrak dua tahun bersama Gergasi Merah.

Selain itu, Johan menjelaskan Selangor FC masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perancangan untuk mempersiapkan pasukan musim depan.

"Sekarang ini belum ada apa-apa keputusan yang dibuat, sudah pasti perancangan sudah bermula sebab sekarang pun akhir November.

"Namun, kita masih ada lagi tiga perlawanan Liga Super dan ketika ini kita fokus kepada perkata itu. Selepas tamat musim ini tamat baru beberapa keputusan akan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 6:57 PM